Tuesday, June 4, 2013

Sebenarnya saya cinta Dia...

[Nama, tempat dan jalan cerita hanyalah rekaan dan imiginasi penulis, tiada kaitan dengan sesiapa]
Suria menapak perlahan, jalannya penuh cermat agar tidak menggangu tidur rakan serumahnya. Usai meneguk segelas air, Suria kembali ke biliknya.
'Eh, belum tidur ke Asmani nih? lampu pun menyala lagi tu.`
Suria mengumam sendirian sambil langkahnya menuju ke bilik Asmani. Perlahan-lahan pintu bilik yang terbuka sedikit itu dikuaknya. Ternyata Asmani tertidur di meja belajarnya.
Semakin dekat dengan hari peperiksaan, gelagat Asmani semakin pelik. Balik sahaja dari kelas Asmani pasti akan terus masuk ke biliknya tanpa menegur Suria. Suria yakin dan pasti mereka tidak bergaduh. Cuma sejak kebelakangan ini, sejak kejadian di kantin aritu, Asmani seolah-olah meminta utk diberi ruang dan waktu untuk bersendirian. Suria cuba untuk memahami sahabat baiknya dan bersangka baik.
Pagi ini, Suria bangun awal dari biasa. Nasi lemak kegemaran Asmani disiapkan dengan harapan mereka dapat bersarapan bersama. Sudah lebih tiga hari sejak kejadian itu mereka tidak makan bersama.
`Asma, jom la makan sekali. Aku dah masak breakfast spesial utk kau,` ajak Suria.
`Sorry Suri, aku tak selera la pagi ni. Kau makan la dulu. By the way, pagi ni aku pergi kelas dengan Haslizah, ada hal sikit kena setelkan. Kau guna ja motor aku tu,` balas Asmani sambil berlalu menunggu Haslizah di luar. Mereka membahasakan diri sebagai Suri dan Asma ketika berbual.
Sungguh itu bukan Asmani yang Suria kenal. Asmani bukan jenis yang tak menghargai pemberian orang, terutamanya dari sahabat baik sendiri. Asmani pasti akan tunjukkan muka paling gembira kalau menerima sesuatu, walaupun sebenarnya benda yang diterima itu tidaklah seberapa. Ada sesuatu yang Asmani cuba sembunyikan dari Suria. Asmani tak mampu memandang mata Suria ketika bercakap tadi walhal mereka bukanlah orang asing dalam rumah ni.
Petang itu, Suria balik awal kerana kelas Fizik dibatalkan. Bersama secawan kopi panas, Suria duduk di atas sofa sambil memandang ke luar. Pandangannya jauh dilemparkan ke hadapan sambil fikirannya menerawang ke kisah yang terjadi hampir lima tahun dulu. Kisah yang menjadi titik mula Suria bertemu sahabat baik dunia akhiratnya itu.
Imbas kembali : 5 tahun yang lalu
Kini genap sebulan di INTEC. Sebagai seorang pelajar program kejuruteraan Korea Suria masih belum sepenuhnya mengenali rakan-rakannya batchnya yang 83 orang itu.
`Ah, peduli lah, kenapa aku kena sibuk-sibuk nak kenal dan hafal nama diorang, bukannya boleh jamin aku fly pun. Tido lagi bagus`
Ttok! Ttok!
Bunyi fb mesengger menghantar notification ada mesej di inbox. Laju tangan Suria mencapai henset, dibukanya inbox.
`Assalamualaikum, saya nampak awak sorang-sorang tadi kat cafe Akasia, boleh berkenalan? btw, fb awak ni saya dapat dari classmate awak, jangan marah eh. hehe`
Mesej dari mamat blok sebelah dibiarkan.
`Hmm nama saya macam yang dalam fb ni la, tapi kawan-kawan panggil saya Mat. Saya ikhlas nak berkawan dengan awak. Please.`
Mesej dibaca tapi tak dibalas.
`Awak~`
`Please. Nak berkenalan jer.`
`Saya ikhlas.`
Suria tersenyum. Dalam hati berbunga, ada sedikit berdebar. Maklumlah ini kali pertama, ada lelaki nak berkawan dengannya, ikhlas katanya. Apa salahnya mencuba kan.
`Hai. Saya Suria. Panggil Su. Kenapa nak kenal? Saya ada berhutang ke dengan awak?` Suria membalas dengan nada sedikit keras, mengelak di cop mudah cair walhal hati sudah mula berbunga.
Akhirnya, ego setinggi tembok yang dibina Suria berjaya diruntuhkan oleh Mat. Mat lelaki yang pandai memujuk, Mat lelaki yang pandai mengambil hati, mengotakan setiap janjinya. Rupanya bukan semua lelaki jahat macam ayah. Siang malam Suria hanyalah teringatkan Mat. Maka bermulah episod bahagia dalam kehidupan Suria, seperti remaja lain.
Dalam perjalanan untuk berjumpa dengan Mat di hujung bangunan kelas komputer, Suria terlanggar classmatenya, tak ingat siapa namanya. Habis jatuh bertaburan kertas yang dipegang. Suria hanya memandang tanpa mengucap maaf dan terus melangkah pergi.
`Padan muka dia, jalan sambil tidur ke apa. Jalan tu pandang la kiri kanan, asyik tunduk je, mahu tak berlanggar. Isy, mesti Mat dah lama menunggu.` Suria membebel dalam hati.
Asmani mengutip kertas yang bertaburan di atas lantai. Dia kenal pelajar yang melanggarnya tadi. Suria binti Muiz, classmate yang tempat duduknya selang dua meja darinya. Seorang pelajar yang pandai, cepat faham apa yang diajar tapi suka bersendirian. Pernah Asmani menghulurkan tangan untuk berkenalan, tapi salamnya tak bersambut, malah Suria buat-buat tak nampak dan terus berlalu. Asmani hanya tersenyum saat itu.
`Tak mengapa, kalau bukan hari ini, mungkin esok. Assalamualaikum Suria binti Muiz. Saya tahu awak baik, semoga suatu masa nanti awak sudi berkawan dengan saya.` Asmani berdoa dalam hati.
Beberapa hari selepas itu, Suria tidak kelihatan di tempat duduknya. Asmani mula rasa tak sedap hati, selalunya Suria antara orang yang awal sampai ke kelas. Pagi tadi dia nampak Suria di barisan depan sedang berbaris untuk naik bas ke kelas. Bermakna dia datang ke sekolah tapi tidak masuk ke kelas.
Tiba waktu rehat, Asmani cuba mencari Suria di bangunan yang pernah mereka terlanggar dulu. Entah mengapa firasatnya kuat mengatakan Suria di sana.
`Kenapa dengan awak ni? Dulu bukan main awak ajak saya berkenalan, sekarang..` Suara Suria terputus, hanya esakan kedengaran.
`Apa sebabnya awak nak putus? Awak tipu saya. Semua lelaki sama, ayah jahat awak pun jahat.` Suara Suria yang kuat tadi mula mengendur, menggambarkan hatinya yang betul-betul kecewa.
Selang beberapa minit, kedengaran suara seorang lelaki. Asmani kenal dengan pemilik suara itu, budak program kejuruteraan Australia. Asmani yang masih di balik dinding tekun mendengar.
`Saya mintak maaf, masa tu saya memang ikhlas nak berkawan dengan awak. Sumpah, tak ada niat nak menipu atau mainkan awak, Su. Tapi cara kita ni salah. Awak perempuan, saya lelaki dan tiada istilah berkawan antara lelaki dan perempuan. Selama ni, saya tak tahu benda ni salah. Saya dah taknak terus berdosa, Su.` Mat cuba menenangkan Suria. Nafas ditarik perlahan dan Mat terus menerangkan perkara sebenar kepada Suria.
`Sungguh, bukan sebab ada perempuan lain saya ambil keputusan ni. Suria binti Muiz, awak dibesarkan dengan penuh kehormatan oleh ibu bapa awak, tapi saya rasa saya merendah-rendahkan martabat awak. Saya... saya tak sepatutnya menghalalkan apa yang belum halal untuk saya.` Mat terus menyambung bila Suria hanya diam.
`Saya rasa saya dah nampak matlamat hidup saya yang sebenar, kenapa Allah ciptakan kita. Selama ni saya jahil, saya hanya tahu keseronokan dunia. Allah tak ciptakan kita untuk bermain-main dengan cinta nafsu macam ni, Suria. Tugas kita lebih besar, Suria. Saya harap suatu hari nanti awak akan faham apa yang saya faham sekarang ni. Saya sedang baiki diri dan ingin menjadi lebih baik. Saya terpaksa pergi dulu, Suria. Andai betul awak jodoh saya, semoga Allah pertemukan kita melalui cara yang betul.` Mat terus melangkah pergi. Andai dia terus menunggu, bimbang hatinya akan berpatah balik.
Asmani hanya kaku di tempatnya. Tiba-tiba kelibat Mat muncul di balik dinding. Asmani kaget, mata mereka bertentangan, tapi Asmani cepat-cepat menundukkan pandangannya. Mat pun tidak menunggu lama dan terus berlalu dari situ.
Asmani cuba menghampiri Suria, perlahan-lahan duduk disebelahnya. Dihulurnya sehelai tisu. Asmani hanya duduk menemani Suria tanpa berbuat apa-apa. Esak tangis Suria mula kedengaran dan semakin kuat bila Asmani mengusap belakangnya. Akhirnya Suria menangis di bahu Asmani.
Ttok! Ttok!
Bunyi mesej masuk. Lamunan Suria berkecai.
Asmani adalah orang yang ikhlas bersahabat dengannya. Ketika dia ditinggalkan Mat, Asmani memujuk hatinya dengan cinta kepada yang lebih agung. Suria mula berjinak-jinak dengan majlis ilmu kerana mengikut ajakan Asmani. Dari situ, dia mula mengenali usrah dan selesa dengannya. Jiwanya terasa terisi dan tenang bila mengikuti usrah. Sungguh kini Suria menyedari nikmat terbesar untuk manusia adalah iman dan islam. Dan kini dia mula mengerti apa penyebab Mat memutuskan hubungan dengannya dulu. Syukur, ya Allah atas perkenalan dengan sahabatku ini.
Mesej yang masuk tadi dari Asmani rupanya.
`Suri, aku rasa kita kena jumpa. Aku tunggu kat Ediya jam 5.`
Suria segera bersiap, pasti ada perkara penting yang ingin diberitahu Asmani. Mungkin dia ingin meluahkan masalah yang dihadapi kebelakangan ni. Suria nekad kali ni, dia yang perlu memecahkan jurang ini sekaligus merapatkan kembali hubungan mereka.
Enjin motor dihidupkan. Topi keledar disarung dan perlahan motor bergerak meninggalkan halaman rumah.
Suasana cafe Ediya Coffee sunyi. Tak ramai pelanggan hari ni. Suria tenang menunggu Asmani. Cafe Mocha kegemarannya dihirup perlahan.
Duduknya yang menghadap ke dinding menyebabkan Suria tidak perasan kehadiran Asmani. Bahu Suria ditepuk perlahan. Suria menoleh ke belakang.
Ppong! Ppong! kedengaran letupan kecil.
Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan SURIA...
`Suria, selamat hari lahir. Semoga Allah meredhai persahabatan kita. Maaf atas sikap aku yang buruk dua tiga hari kebelakangan ni. Kejadian kat kelas tu pun salah satunya. Itu semua idea Haslizah and the gang, aku follow ja. Aku sayang kau fillah.` bisik Asmani ketika memeluk Suria.
Suria mengesat air matanya. Dipandang wajah sahabatnya satu persatu. Sungguh ukhwah ini hanya manis bila ia bersalut keimanan dan kecintaan kepadaMu ya Allah.
`Terima kasih Asmani kerana mengenalkan aku dengan tuhan melalui tarbiyah.` Suria berkata dalam hatinya. 
by: akuhambaAllah

1 comment:

Anonymous said...

After checking out a handful of the articles on your website, I honestly appreciate your
way of writing a blog. I book-marked it to my bookmark site list and will be checking back soon.
Please visit my website as well and let me know what you think.


my blog ... firestorm

Related Posts with Thumbnails