Saturday, June 29, 2013
Jauh~lah mengislah diri
Jaulah mengislah diri
`Daie, hati jangan sejemput. Berjiwa besarlah.`
Ini satu kalimat senang diungkap sukar sekali dihayati. Dalam jaulah kali ini, diri ini diberi taklifan untuk mengajak bakal2 penyambung nadi dakwah di bumi sonata ini mengenal hakikat sebenar penciptaan mereka, menggalas kembali tanggungjawab sememamngnya terpikul di bahu mereka. Para daie kecil ini mungkin masih kecil dari segi usianya tapi jiwa mereka subhanallah sudah dibukakan seluasnya untuk mereka menerima sentuhan tarbiyah.
Usrah bermula dengan tasbih kafarah dan berakhir dengan alfatihah. Benar, apa yang dibincangkan, didebatkan dalam usrah bukan apa yang dikehendaki oleh gerabak dakwah ini tapi pengaplikasian apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Mungkin semua orang boleh datang usrah, apa la sangat dua jam yang diluangkan. Tapi berapa banyak hati yang mahu berubah setelah menerima sentuhan tarbiyah? Ada yang tak pernah ponteng usrah namun masih sukar membiarkan tarbiyah membasuh jahiliyah di hati
Friday, June 28, 2013
DI CELAHAN ASAR DAN MAGHRIB
Bismillah..
Cuaca
mendung. Agak kelam berbanding hari biasa. Musim panas di bumi sonata bukanlah
sesuatu yang begitu menyeronokkan. Alhamdulillah, kadang-kadang angin bertiup
lembut meredakan sedikit bahang kering yang menyengat. Mungkin bagi yang ingin
mencuci mata, bumi sonata menyediakan pencuci mata yang lebih hebat dari eyeMo.
Malu rasanya hendak berkongsi di sini. Wanita-wanita berpakaian seolah-olah
hanya mempunyai semeter kain untuk dibuat baju dan seluar.
Hari
ini misiku hanya satu iaitu menawan sebuah bukit dibelakang rumahku. Usai solat
asar aku berjalan laju menuju ke kaki bukit. Dua hari yang lepas, aku pernah ke
sini bersama seorang seniorku. Kami mendaki hingga ke puncak yang pertama,
Puncak yang jaraknya hanya 0.28km tapi subhanAllah, aku perlu memanjat dengan
tangga yang anak tangganya aku kira mungkin seratus ke dua ratus langkah. Basah
lencun bajuku dengan peluh. Tetapi ternyata di puncak pemandangannya
masyaAllah, terbentang luas bandar besar, di sebelahnya laut yang membiru,
diatasnya awan yang sedikit kelam mencantikkan lagi portrait dihadapanku ini.
Hilang terus keletihan memanjat anak tangga tadi.
Kekaguman
2 hari yang lepas masih lagi terbawa-bawa hingga ke hari ini. Lalu aku
mengambil keputusan untuk melengkapkan misiku dengan cubaan menawan puncak
kedua. Sampai di persimpangan yang memisahkan dua puncak itu, aku terbaca papan
tanda yang menyatakan jarak pendakian ke puncak kedua ialah 1.08km. Aku
mengucap panjang, tapi alang-alang sudah sampai di situ aku teruskan juga
langkahku. Berpantang undur sebelum ajal, kononnya. Kecil-kecil aku menapak.
Jauh di belakangku kelihatan seorang pak cik yang umurnya ku kira dalam
lingkungan 60-70an. Ku terus menapak, setiap langkah walaupun tidak bertangga
tetapi geografi muka buminya yang berbatu membuatkan pendakianku sedikit
melelahkan. Lenguh seluruh sendiku.
Aku
berehat sebentar melepaskan lelah. Ku teguk air mineral sejuk yang ku bawa dari
rumah. Sedang aku berehat sebentar membasahkan tekak, pak cik yang tadi nun jauh
di belakang kini berjalan di hadapanku dan menyapaku. Aduh, aku rasa seperti
arnab yang berlumba dengan kura-kura pula. Ke mana pergi semua tenaga mudaku?
Seharusnya aku yang lebih berstamina seiring dengan usia mudaku. Mungkin
sebenarnya organ-organ dalaman aku juga telah reput digigit oleh kemalasan aku
selama ini. Aku terus bangun dan menyambung langkahku. Kali ini, lebih
bersemangat dan aku berjaya mendahului pak cik tadi. Seharusnya aku belajar
dari bangsa maju dihadapanku ini. Mereka seperti arnab yang laju, tetapi tidak
akan berehat selagi tidak sampai ke penghujung.
Dihadapan
aku kini tangga yang aku tidak nampak di mana hujungnya. Cuma yang kelihatan
seorang mak cik yang ku kira umurnya sebaya dengan isteri abahku. Semakin aku
menghampiri mak cik tersebut, kelihatan di tangannya seutas tasbih berwarna
coklat. Tangannya perlahan membilang tasbih sambil kakinya perlahan mendaki
tangga tersebut. Wah, aku rasa seperti ditampar saat itu. Dia yang beragama
Buddha mampu mengamalkan agamanya dengan tekun sekali, sedangkan aku, tidak
pernah terdetik pun di hati untuk
membawa tasbih dan berzikir sambil mendaki. Mungkin sudah diracuni pemikiran
sekularisme agaknya, beribadah, bertasbih hanya dilakukan di tikar sejadah.
Usai sahaja memberi salam dan melipat sejadah, agama tiada lagi dalam tentatif
kehidupan seharian.
Aku bercadang menunggu sehingga matahari
terbenam. Siang yang panjang di musim panas menyebabkan aku terpaksa menunggu
hingga jam hampir ke pukul 8.00 malam. SubhanAllah, pemandangan langit yang
berwarna keemasan begitu memukau pandanganku. Potret Golden Hour yang amat
mengasyikkan ku kira. Tetapi aku tidak boleh berlama-lama di situ, bimbang hari
menjadi gelap dan menyukarkan aku untuk pulang. Aku segera mencapai beg sandang
dan pantas bergerak menuruni bukit. Gambar-gambar yang ku ambil sudah cukup
untuk merakamkan betapa indahnya momen yang kuhabiskan diatas puncak itu.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, mata-mata
sekeliling masih memandangku. Ikutkan hati kecilku, ingin sekali aku terbang
pulang ke rumah atau menjadi invisible, biar tiada siapa dapat melihatku.
Sungguh aku rasa terasing di jalanan itu, seperti alien yang baru sahaja
mendarat di bumi. Mata-mata mereka meliar memandang aku yang berbalut kepala,
hanya kelihatan wajahku dan bajuku yang berbungkus penuh, hanya kelihatan dua
tanganku. Langkah dilajukan, ingin sekali cepat sampai di rumah.
Tapi sebenarnya seronok juga bila difikirkan
semula. Allah beri peluang untuk aku menjadi duta kecil islam, mengelilingi
dunia dengan membawa imej islam, biar satu dunia tahu aku adalah seorang
muslim. Kalau ditanya mengapa berhijab, jawapannya mudah saja. Aku analogikan
sahaja seperti seorang chef, sekali dipandang seorang lelaki yang berpakaian
seragam tukang masak akan digelar chef, tanpa perlu dia menceritakan identiti
dirinya. Tetapi tatkala dia menanggalkan seragamnya itu, maka hilanglah
identiti luarannya sebagai seorang chef. Bagi aku, hijab itulah seragamku, dan
aku adalah full-time muslim, maka secara logiknya aku tidak boleh menanggalkan
seragamku, nanti BOS aku marah, maka nerakalah tempatnya.
Hari ini sengaja aku berjalan di lorong
universiti, dimana lorong-lorong di sini dipenuhi deretan restoren, coffee
shop, pusat karaoke dan lain-lain yang seangkatan dengannya untuk pelajar
disini menghilangkan stress mereka. Aku bercadang membeli Bubble tea, minuman
kegemaranku disini. Dicelah-celah puluhan manusia yang berbagai ragam itu, aku
melihat ada yang dengan wajah penuh kegembiraan menarik luggage ingin pulang ke
kampung halaman, ada juga yang meng’ekspresi’kan kegembiraan dengan melanggah
minuman keras dan terhuyung-hayang di jalanan, tak kurang juga yang berpelukan
lelaki dan wanita memasuki pusat karaoke. Maklumlah hari ini merupakan hari
terakhir peperiksaan bagi semester musim bunga. Tidak hairanlah semua orang
ingin bergembira sepuas-puasnya.
Mereka-mereka dihadapanku ini, seakan-akan
robot manusia yang diprogramkan. Mereka belajar, hinggakan ada yang bermalam di
coffee shop, bersengkang mata menelaah untuk peperiksaan esoknya. Mereka lulus
dengan cemerlang kemudian mendapat posisi tinggi di syarikat besar , bekerja
bagaikan robot tanpa perasan. Keluar seawal subuh dan pulang ke rumah hanya
bila malam sudah pun menjengah. Bagi menghilangkan tekanan di tempat
kerja,mereka minum dengan rakan sekerja hingga ke subuh dihujung minggu.
Sungguh, penyelesaian bagi setiap masalah mereka hanyalah arak. Kasihan bangsa
maju ini, mereka meraba-raba mencari bahagia dalam kegelapan. Namun jika
direfleksi semula kepada diri ini, sudah ada cahaya islam yang menyuluh terang
jalan dihadapanku, tetapi diri sendiri pula yang malas melangkah, MALAS.
Sampai aku dirumah, segera aku berwudhuk dan
menunaikan solat maghrib. Dalam sujud, aku titipkan doa kesejahteraan untuk
kedua orang tuaku, untuk saudara-saudaraku di Malaysia amnya dan di Palestin,
Syria dan Myanmar khususnya. Semoga diri ini juga dipelihara Rabb selalu.
Alhamdulillah, syukur untuk pengalaman berharga DI CELAHAN ASAR DAN MAGHRIB.
Subscribe to:
Posts (Atom)