Friday, June 28, 2013

DI CELAHAN ASAR DAN MAGHRIB

Bismillah..



Cuaca mendung. Agak kelam berbanding hari biasa. Musim panas di bumi sonata bukanlah sesuatu yang begitu menyeronokkan. Alhamdulillah, kadang-kadang angin bertiup lembut meredakan sedikit bahang kering yang menyengat. Mungkin bagi yang ingin mencuci mata, bumi sonata menyediakan pencuci mata yang lebih hebat dari eyeMo. Malu rasanya hendak berkongsi di sini. Wanita-wanita berpakaian seolah-olah hanya mempunyai semeter kain untuk dibuat baju dan seluar.

Hari ini misiku hanya satu iaitu menawan sebuah bukit dibelakang rumahku. Usai solat asar aku berjalan laju menuju ke kaki bukit. Dua hari yang lepas, aku pernah ke sini bersama seorang seniorku. Kami mendaki hingga ke puncak yang pertama, Puncak yang jaraknya hanya 0.28km tapi subhanAllah, aku perlu memanjat dengan tangga yang anak tangganya aku kira mungkin seratus ke dua ratus langkah. Basah lencun bajuku dengan peluh. Tetapi ternyata di puncak pemandangannya masyaAllah, terbentang luas bandar besar, di sebelahnya laut yang membiru, diatasnya awan yang sedikit kelam mencantikkan lagi portrait dihadapanku ini. Hilang terus keletihan memanjat anak tangga tadi.

Kekaguman 2 hari yang lepas masih lagi terbawa-bawa hingga ke hari ini. Lalu aku mengambil keputusan untuk melengkapkan misiku dengan cubaan menawan puncak kedua. Sampai di persimpangan yang memisahkan dua puncak itu, aku terbaca papan tanda yang menyatakan jarak pendakian ke puncak kedua ialah 1.08km. Aku mengucap panjang, tapi alang-alang sudah sampai di situ aku teruskan juga langkahku. Berpantang undur sebelum ajal, kononnya. Kecil-kecil aku menapak. Jauh di belakangku kelihatan seorang pak cik yang umurnya ku kira dalam lingkungan 60-70an. Ku terus menapak, setiap langkah walaupun tidak bertangga tetapi geografi muka buminya yang berbatu membuatkan pendakianku sedikit melelahkan. Lenguh seluruh sendiku.

Aku berehat sebentar melepaskan lelah. Ku teguk air mineral sejuk yang ku bawa dari rumah. Sedang aku berehat sebentar membasahkan tekak, pak cik yang tadi nun jauh di belakang kini berjalan di hadapanku dan menyapaku. Aduh, aku rasa seperti arnab yang berlumba dengan kura-kura pula. Ke mana pergi semua tenaga mudaku? Seharusnya aku yang lebih berstamina seiring dengan usia mudaku. Mungkin sebenarnya organ-organ dalaman aku juga telah reput digigit oleh kemalasan aku selama ini. Aku terus bangun dan menyambung langkahku. Kali ini, lebih bersemangat dan aku berjaya mendahului pak cik tadi. Seharusnya aku belajar dari bangsa maju dihadapanku ini. Mereka seperti arnab yang laju, tetapi tidak akan berehat selagi tidak sampai ke penghujung.

Dihadapan aku kini tangga yang aku tidak nampak di mana hujungnya. Cuma yang kelihatan seorang mak cik yang ku kira umurnya sebaya dengan isteri abahku. Semakin aku menghampiri mak cik tersebut, kelihatan di tangannya seutas tasbih berwarna coklat. Tangannya perlahan membilang tasbih sambil kakinya perlahan mendaki tangga tersebut. Wah, aku rasa seperti ditampar saat itu. Dia yang beragama Buddha mampu mengamalkan agamanya dengan tekun sekali, sedangkan aku, tidak pernah terdetik pun di hati  untuk membawa tasbih dan berzikir sambil mendaki. Mungkin sudah diracuni pemikiran sekularisme agaknya, beribadah, bertasbih hanya dilakukan di tikar sejadah. Usai sahaja memberi salam dan melipat sejadah, agama tiada lagi dalam tentatif kehidupan seharian. 


Aku bercadang menunggu sehingga matahari terbenam. Siang yang panjang di musim panas menyebabkan aku terpaksa menunggu hingga jam hampir ke pukul 8.00 malam. SubhanAllah, pemandangan langit yang berwarna keemasan begitu memukau pandanganku. Potret Golden Hour yang amat mengasyikkan ku kira. Tetapi aku tidak boleh berlama-lama di situ, bimbang hari menjadi gelap dan menyukarkan aku untuk pulang. Aku segera mencapai beg sandang dan pantas bergerak menuruni bukit. Gambar-gambar yang ku ambil sudah cukup untuk merakamkan betapa indahnya momen yang kuhabiskan diatas puncak itu.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, mata-mata sekeliling masih memandangku. Ikutkan hati kecilku, ingin sekali aku terbang pulang ke rumah atau menjadi invisible, biar tiada siapa dapat melihatku. Sungguh aku rasa terasing di jalanan itu, seperti alien yang baru sahaja mendarat di bumi. Mata-mata mereka meliar memandang aku yang berbalut kepala, hanya kelihatan wajahku dan bajuku yang berbungkus penuh, hanya kelihatan dua tanganku. Langkah dilajukan, ingin sekali cepat sampai di rumah.

Tapi sebenarnya seronok juga bila difikirkan semula. Allah beri peluang untuk aku menjadi duta kecil islam, mengelilingi dunia dengan membawa imej islam, biar satu dunia tahu aku adalah seorang muslim. Kalau ditanya mengapa berhijab, jawapannya mudah saja. Aku analogikan sahaja seperti seorang chef, sekali dipandang seorang lelaki yang berpakaian seragam tukang masak akan digelar chef, tanpa perlu dia menceritakan identiti dirinya. Tetapi tatkala dia menanggalkan seragamnya itu, maka hilanglah identiti luarannya sebagai seorang chef. Bagi aku, hijab itulah seragamku, dan aku adalah full-time muslim, maka secara logiknya aku tidak boleh menanggalkan seragamku, nanti BOS aku marah, maka nerakalah tempatnya.

Hari ini sengaja aku berjalan di lorong universiti, dimana lorong-lorong di sini dipenuhi deretan restoren, coffee shop, pusat karaoke dan lain-lain yang seangkatan dengannya untuk pelajar disini menghilangkan stress mereka. Aku bercadang membeli Bubble tea, minuman kegemaranku disini. Dicelah-celah puluhan manusia yang berbagai ragam itu, aku melihat ada yang dengan wajah penuh kegembiraan menarik luggage ingin pulang ke kampung halaman, ada juga yang meng’ekspresi’kan kegembiraan dengan melanggah minuman keras dan terhuyung-hayang di jalanan, tak kurang juga yang berpelukan lelaki dan wanita memasuki pusat karaoke. Maklumlah hari ini merupakan hari terakhir peperiksaan bagi semester musim bunga. Tidak hairanlah semua orang ingin bergembira sepuas-puasnya.

Mereka-mereka dihadapanku ini, seakan-akan robot manusia yang diprogramkan. Mereka belajar, hinggakan ada yang bermalam di coffee shop, bersengkang mata menelaah untuk peperiksaan esoknya. Mereka lulus dengan cemerlang kemudian mendapat posisi tinggi di syarikat besar , bekerja bagaikan robot tanpa perasan. Keluar seawal subuh dan pulang ke rumah hanya bila malam sudah pun menjengah. Bagi menghilangkan tekanan di tempat kerja,mereka minum dengan rakan sekerja hingga ke subuh dihujung minggu. Sungguh, penyelesaian bagi setiap masalah mereka hanyalah arak. Kasihan bangsa maju ini, mereka meraba-raba mencari bahagia dalam kegelapan. Namun jika direfleksi semula kepada diri ini, sudah ada cahaya islam yang menyuluh terang jalan dihadapanku, tetapi diri sendiri pula yang malas melangkah, MALAS.

Sampai aku dirumah, segera aku berwudhuk dan menunaikan solat maghrib. Dalam sujud, aku titipkan doa kesejahteraan untuk kedua orang tuaku, untuk saudara-saudaraku di Malaysia amnya dan di Palestin, Syria dan Myanmar khususnya. Semoga diri ini juga dipelihara Rabb selalu. Alhamdulillah, syukur untuk pengalaman berharga DI CELAHAN ASAR DAN MAGHRIB.

No comments:

Related Posts with Thumbnails