Monday, September 26, 2011

NOVEL : Cerita Cintaku 5

Bismillah..



Bahagian 5
Sedutan Episod lalu...
gambar sekadar hiasan


Harapkan pagar, pagar makan padi. Harapkan kawan, kawan makan kawan. Sampai hati kau Rizman. Selama ini, dia percaya pada Rizman sepenuhnya. tanpa curiga dia membenarkan mereka berdua menghabiskan masa bersama kerana dia terlalu sibuk dengan rutin kerjanya yang baru dinaikkan pangkat sebagai Assistant Manager. Dia kekurangan masa untuk menemani Hani. Hampir saban minggu dia melihat sahaja kelakuan jijik mereka berdua. Kadang-kadang memang sengaja dia memberi alasan untuk tidak turut serta dalam ‘dating’ mereka. Hendak dilihat dan dipastikan sendiri dengan mata kepalanya.


Apakah yang bakal dilakukan Azim Selepas melihat kejadian di Kafe Setabak itu?

....................................


Di kampung Azim
Azim berbasikal meniti batas sawah dan sesekali kayuhannya terhenti apabila beberapa ekor kerbau dan lembu menghalangi jalannya. Teringat zaman kanak – kanaknya ketika dia mengayuh basikal melalui sawah milik mak Limah yang terkenal dengan garangnya. Segarang-garang mak Limah pun, orang tua itu jugalah yang menyapu ubat ke lukanya masa terjatuh ke dalam sawah. Diselak seluar pendek paras lutut yang dipakainya. Ternyata parut di lutut kirinya itu masih kelihatan.

Diberhentikan basikal di pondok tepi sawah milik mak Limah itu. Dibetul-betulkan topi di kepala. Punggungnya dilabuhkan di pondok usang itu sambil melemparkan pandangan jauh di hadapannya. Sapaan angin yang seakan-akan membisikkan ketenangan menyapu lembut kulit sawo matangnya. Misai nipis dijaga rapi, badan yang sasa dan tegap, sesekali pandang mirip Atuknya ketika zaman muda dahulu.

Pemandangan dihadapannya seakan-akan sebuah lukisan, indah sungguh. Ketenangan mula meresap ke dalam hatinya, tenang yang teramat. Tak pernah dia berperasaan sebegitu. Sungguh melihat ciptaan alam yang belum tercemar dengan tangan-tangan kotor manusia menjadikan jiwanya tenang. Otak Azim ligat mengimbas kembali pesan ustaznya,

Hamparkanlah pandanganmu melihat pantai yang berombak, gunung- ganang yang gah berdiri, awan yang berarak tanpa henti dan matahari serta bulan yang silih berganti memancarkan sinarnya, semuanya mengikut sunatullah, mengikut percaturan yang ditetapkan penciptanya. Allah berfirman dalam surah Ar-ra’ad : 28 yang bermaksud,

Ketahuilah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang.

Orang mukmin yang melihat alam dengan mata hati akan merasai nikmat luar biasa, kekadang hingga mampu menitiskan air mata.Berbeza apabila melihat dengan mata fizikal. Mungkin alam ini hanya sebagai perhiasan yang tiada istimewa baginya, ada dan tiadanya tiada beza. Azim, jadilah manusia yang beruntung dengan memilih untuk melihat segalanya dengan mata hati.”  

Ucapan itu terasa menusuk ke kalbu apabila ustaz turut mengusap kepalanya, sama seperti yang sering dilakukan oleh Atuk kepadanya setiap kali selepas solat. Tumpah kasihnya kepada ustaz itu.

Azim tersentak apabila sekumpulan burung tiba-tiba terbang serentak dan riuh berbisik sesama mereka dalam bahasa yang tidak difahami manusia. Minda separa sedar Azim memaksa dirinya kembali ke alam nyata, alam realiti. Dipandangnya jam Roll-ex berharga belasan ribu hadiah ulang tahun kelahirannya yang lepas itu lalu dipercepatkan kayuhan ke kebun Atuk. Lupa sebentar tujuan asalnya dek kerana terleka dengan pemandangan indah yang memukau tadi.

Ketika Azim sampai di kebun Atuknya, kelihatan orang tua itu sedang berehat di pondok papan yang dibina untuk melepaskan lelah setelah penat berkebun. Mata orang tua itu terpejam rapat. Lena sungguh. Mungkin dek terlalu penat seharian berkebun, getus hati kecil Azim. Enggan diganggu tidur nyenyak Atuknya itu, Azim duduk perlahan-lahan di sebelah Atuknya.

Dilihatnya batas-batas untuk ditanam benih jagung hanya siap separuh sahaja. Manakala batas untuk petola dan cili telah siap semuanya. Lantas Azim mengambil cangkul yang disimpan dalam tong sebelah motosikal Atuk. Dimulakan dengan mencangkul batas di sebelah depan kebun hinggalah batas yang ke-5 telah siap dicangkulnya. Mujurlah dia pernah berguru dengan Atuknya serba sedikit ilmu bercucuk-tanam ini. Tidaklah dia seolah-olah ‘rusa bandar’ yang masuk kampung. Serba-serbi tidak tahu, hanya tahu duduk goyang kaki, angguk-angguk geleng-geleng sambil mendengar muzik rancak di bawah air-cond sahaja.

Azim menjenguk ke kawasan yang lain. Dilihatnya terung dan kacang panjang telah menampakkan hasilnya dan sudah boleh dipetik. Patutlah Atuk beria-ia mengajaknya ke kebun awal pagi esok. Azim terus melangkah ke kebun buah milik Opahnya, bersebelahan kebun sayur Atuk. Parang di tangan digenggam kemas. Dicantasnya semak-samun yang memenuhi kebun itu. Dahulu ketika masih di sekolah rendah, Azim selalu melarikan diri ke kebun Opah apabila dimarahi. Di situ, dia mampu duduk seharian tanpa bosan. Sekejap-sekejap dicarinya buah durian yang luruh ataupun dipanjatnya pokok manggis, menghabiskan buah di atas pokok. Hinggakan bersepah kulit manggis di bawah pokok.

Azim duduk bersahaja di bangsal kecil dalam kebun Opahnya itu. Fikirannya mengelamun jauh entah ke mana. Nyamuk yang hinggap di lengannya ditampar kuat tidak dibiarkan hidup. Sesekali dia terfikirkan Nurul. Dia masih bingung kenapa Nurul melarikan diri sewaktu terserempak dengannya tempoh hari. Takkanlah kisah 15 tahun yang lalu masih belum dilupai Nurul? Hinggakan marahnya tidak surut-surut dan enggan bertemu dengan aku? Tapi Nurul memang berhak untuk terus marah pun kat aku. Sepatutnya aku meminta maaf atas kekasaranku menolak Nurul hingga terjatuh dan dahinya tersembam ke batu. Parutnya masih kekal hingga kini menurut cerita Opah.

Imbas kembali
Di tepi sungai

“Blah la awak ni. Pergi la kawan dengan si Aqasha  perasan bagus tu. Saya pun tak teringin sangat pun ada kawan macam awak!” ujar Azim sambil menolak kasar bahu Nurul dan berlalu pergi.

Tiba-tiba, terdengar bunyi hentakan diikuti satu jeritan kecil. Suara Nurul. Kedengaran Nurul menangis kesakitan sambil memegang dahinya. Azim segera menoleh ke belakang. Dilihatnya Nurul terduduk dengan tangan didahinya dipenuhi darah.

Hanya tuhan yang tahu betapa cemasnya Azim saat itu. Gara-gara perbuatannya yang menolak kasar bahu Nurul hingga kepalanya terhantuk batu itu memang di luar jangkaannya. Sangkanya dia hanya menolak sedikit sahaja sekadar melempiaskan rasa tidak puas hatinya saat itu. Tak sangka begitu kuat sekali tolakannya itu. Namun hingga kini, dia masih berhutang maaf dengan Nurul.

Opah pernah bercerita perihal Nurul kepada Azim. Namun sikap egonya membuatkan Azim tidak menunjukkan reaksi berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang gadis tersebut. Namun jauh di sudut hati lelakinya, meronta-ronta agar Opah meneruskan ceritanya tentang gadis itu. Mungkin Opah mengerti naluri Azim, mungkin juga dia dapat membaca riak wajah Azim walaupun tanpa dia bersuara. Opah terus bercerita perkembangan Nurul bermula selepas Azim menjejakkan kaki ke asrama penuh hinggalah Nurul kini bergelar guru di sekolah lama mereka.

Seperti yang diduga Opah, akhirnya Azim bersuara kerana lonjakan perasaan ingin tahunya tidak dapat dibendung lagi. Semuanya jelas terpancar di wajah walaupun nada suaranya cuba dikawal. Opah tersenyum melihat gelagat Azim itu. Dia kenal benar dengan perangai cucu intan payungnya itu.

“Nurul selalu ka datang jumpa Opah?” Azim berbasa-basi memulakan bicara. Hati-hati dia menyusun bicara agar tidak nampak terlalu ketara kegundahan hatinya.

“Selalu tu tak ada la. Tapi bila dia ada masa dia selalu masakkan gulai lemak tempoyak hantar sini. Baik budaknya Nurul tu. Tapi sayang….” Opah mematikan bicaranya disitu untuk memancing Azim bertanya.

“Kenapa Opah? Apa yang sayangnya?” Azim terus bertanya tanpa menunggu. Tidak sabar benar nampaknya. Opah hanya tersenyum meleret. Sudah diagak beginilah respon Azim.

“Opah ada bersembang jugak dengan Imam Majid tu. Dengar-dengar minggu depan ada orang nak masuk meminang anak saudaranya tu. Orang kampung sebelah rasanya. Imam Majid yang kenalkan, pilihan keluarga.” Opah terus menunggu respon Azim.

Azim berdehem membasahkan tekaknya. Mungkin juga menutup rasa terkejutnya dari jelas kelihatan di hadapan Opah. Patutlah dia lari bila nampak aku, rupanya dah nak jadi tunang orang. Tapi, apa kaitannya?

“Azim! Azim! Azim.....! Apa yang kau menungkan sampai Opah panggil pun tak dengar ni? Macam orang ditinggalkan buah hati Opah tengok muka tu?” Opah sengaja serkap jarang.

“Eh, tak dalah Opah. Sampai ke situ pulak.” Azim terus berlalu pergi kononnya hendak menjengah ayam di reban belakang rumah. Sedangkan Azim sendiri yang menjual semua ayam di reban kepada Tauke Ah Long. Opah dapat menghidu ada yang tidak kena dengan Azim. Biarlah Azim sendiri menyelesaikannya, putus Opah.

Pondok Opah
Azim tersenyum sendirian di bangsal itu bila teringatkan perbualannya dengan Opah mengenai Nurul. Tentu Opah dapat menghidu kegalauan hatinya saat itu. Bagaimana dia boleh terlupa yang semua ayam di reban itu telah dijual? Sedangkan dia sendiri yang mengikut Atuk menjual ayam-ayam tersebut kepada Tauke Ah Long. Dia mengutuk dirinya sendiri. Perasaan malu bercampur resah dihatinya, hanya Allah yang tahu.

Dan bila terkenangkan Nurul yang akan bertunang dengan pilihan keluarganya, Azim hanya sekadar mampu mendoakan kebahagian Nurul. Semestinya jodoh itu jodoh yang terbaik buat Nurul. Dia tidak tahu keadaan hati dan perasaannya mendengar khabaran itu. Ketika Hani masih disisinya, tidak pernah dia terfikirkan tentang Nurul. Kini, apabila khabaran pertunangan itu diterima, Azim merasa berat untuk menerima khabaran itu. Seolah-olah kehilangan sesuatu.

Mungkin kehilangan sahabat rapat zaman kanak-kanaknya, atau kehilangan seseorang yang mula menapak di hatinya. Azim benar-benar bingung. Mungkin terlalu awal untuk merungkai perasaannya terhadap Nurul. Mungkin juga itu hanya perasaan sementara yang hadir saat jiwanya gelisah memikirkan Hani. Azim keliru dengan hatinya kala ini.

Di rumah Opah
Malam itu, fikiran Azim melayang nun jauh hingga ke lubuk nostalgia lamanya. Kipas yang ligat berpusing di atas kepala direnung seakan-akan menembusi atap rumah pusaka itu. Sekejap-sekejap dipusingnya ke kiri. Sekejap-sekejap dipusingnya ke kanan. Lama dia berkeadaan begitu seolah-olah ibu ayam hilang anak, resah dan gelisah. Wajah Nurul yang asyik muncul di fikirannya akhir-akhir ini menyukarkan tidur nyenyaknya. Akhirnya tubuh Azim tidak lagi bergerak ke kiri ke kanan seperti sebelumnya. Azim terlelap jua akhirnya.

Azim kini sedang melalui sebuah taman yang sungguh indah. Dihadapannya berkembang mekar bunga matahari yang kekuningan. Di sebelah kirinya bersusun kemas bunga ros merah dan putih, ditanam berselang-seli. Azim berjalan perlahan menginjak tanah yang lembut seakan-akan kapas itu. Langkahnya cermat agar tidak terpijak pepohon kecil yang menjalar di bawah.

Azim meneruskan langkah hinggalah dia terpandang satu sungai kecil, jernih airnya mengalir tenang seolah-olah menyambut kehadiran Azim di negeri asing ini. Sesekali kedengaran unggas dan cangkerik berbicara sesama sendiri, meriuhkan lagi suasana sepi yang menyelubungi saat itu. Dari kejauhan Azim terpandang susuk tubuh yang amat dikenalinya. Dipamit-pamit agar gerangan empunya tubuh itu tidak berganjak ke mana-mana dan menunggunya di situ.

“Tunggu, jangan pergi dulu!” Gerangan yang berjubah putih itu tetap berjalan perlahan-lahan mengorak langkah seolah-olah tidak mendengari panggilan Azim.

Azim berlari sekuat hati menghampiri gerangan berjubah putih itu. Sempat disentuhnya bahu kanan susuk tubuh tersebut. Lantas si jubah putih itu pun memalingkan wajahnya. Azim terinjak setapak ke belakang dan terpaksa manahan matanya dengan tangan dek silauan cahaya dari wajah si jubah putih tersebut. Cahaya yang terlalu terang hingga Azim tidak dapat mengecam gerangan si jubah putih itu. Azim cuma cemas sebentar namun tiada ketakutan yang dirasainya kala ini.

“Azim, teruskanlah perjalananmu Nak. Teruskan langkahmu hingga kau ketemu cahaya yang mampu menerangi gelapmu itu.” Cahaya di wajahnya kini beransur pudar hingga membolehkan Azim melihat wajah si jubah putih tersebut. Azim sangat mengenalinya.

Perlahan-lahan gerangan jubah putih tersebut seolah-olah menjauhi Azim setapak demi setapak hingga akhirnya hilang dari pandangannya. Azim cuba berlari mendapatkan si jubah putih itu namun usahanya sia-sia sahaja. Kakinya seakan-akan terlekat di tanah. Azim menjerit-jerit memanggil gerangan si jubah putih itu.

“Imam! Imam Majid! Tunggu!”Azim terjerit-jerit hingga dia bangun terkejut dari lenanya.

“Astaghfirullah!” Azim beristghfar berulang kali sambil meraup mukanya. Mimpi yang dialaminya sebentar tadi benar-benar menyesakkan nafasnya. Tercungap-cungap helaan nafasnya. Azim terus bangun dari pembaringannya dan berkira-kira untuk mengambil wudhuk. Moga-moga dengan cara itu dapat menenangkan kerisauan hatinya kala ini.

"Apakah sememangnya jodoh mereka terhenti di situ?"

No comments:

Related Posts with Thumbnails