Wednesday, June 8, 2011

NOVEL : Cerita Cintaku 3

Bismillah..
Alhamdulillah..sempat juga siap sambungan sebelum balik ke Malaysia..


Bahagian 3

“Azim! Azim! Pak cik nak mintak tolong sikit ni. Boleh? kata Pak Said dengan wajah bersih tersenyum tenang.

“Ada apa Pak Said? Nak saya tolong apa?” Azim terus bangun dari duduknya.

“Nih, pak cik nak mintak kamu tolong imamkan solat zuhur. Nak juga merasa aura imam muda. Kebetulan Imam Majid tak sihat hari ini. Boleh ke? ” ujar Pak Said, bilal masjid yang baru sahaja selesai melaungkan azan.

“Err…saayaaa….ermmm…saayaaa sebenarnya…” Azim jadi gelabah dengan permintaan itu. Masakan tidak, kali terakhir dia mengimamkan solat adalah semasa darjah 6. Itu pun kerana disuruh ustaznya semasa menghadiri kelas KAFA. Ketika di Korea dulu pun, acap kali dia menolak dengan memberikan macam-macam alasan.

“Saya…..”Azim menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Puas difikir cara terbaik untuk menolak permintaan tersebut. Cara yang paling selamat dan yang paling penting tidak menampakkan kejahilannya dalam perkara tersebut.

Hurmmm….. Puas difikir namun otaknya yang selalu sahaja cepat memberi alasan itu seolah-olah dibius dan tidak berfungsi saat itu. Dia kebingungan. Dalam hati Azim bermonolog.

Alamak! Macam mana ni? Time camni la pulak Imam Majid sakit. Aduh, parah ni. Apa aku nak buat ni? Parah…

Azim merasa cemas. Peluh sedikit memercik di dahi. Tangannya juga sedikit menggeletar menggambarkan perasaannya ketika itu. Namun selepas beberapa ketika, Azim tersenyum nipis. Idea untuk mengelat dari menjadi imam muncul di kepalanya.

“Pak Said, saa….” Baru Azim hendak memulakan bicara, tiba-tiba Pak Said memotong percakapannya.

“Eh, Imam! Kata tak sihat?”  tegur Pak Said memandang ke arah pintu masjid. Azim pun segera berpaling ke arah yang sama.

Dilihatnya Imam Majid berjalan masuk ke dalam masjid. Wajahnya kelihatan sedikit pucat.

“Imam, boleh ka ni?” Tanya Pak Said bernada bimbang.

“Aku ni dah tua, Said. Sakit-sakit ni dah biasa. Kalau dilayan makin menjadi pulak nanti. Lagipun, umur aku ni rumah kata pergi kubur kata mari, Said. Rugi kalau aku tak guna betul-betul masa yang bersisa ni. Sementara Allah masih bagi peluang.” kata Imam Majid sambil menepuk bahu Pak Said. Ditenung juga Azim dengan pandangan yang redup. Seolah-olah berpesan agar tidakmensia-siakan setiap peluang yang diberi. Kata-kata itu benar-benar meruntun kalbu dan penuh maksud tersirat bagi Azim. Seolah-olah….

Dia masih teringat khutbah jumaat minggu lepas yang disampaikan oleh Imam Majid walaupun hanya sempat didengari separuh sahaja. Betapa ditekankan bahawa mati itu, tidak mengira muda atau tua. Dipesannya agar anak-anak muda yang berada dihadapannya sentiasa mencontohi para Sahabat, menjadi pemuda yang sehebat Saidina Ali dan segagah Saidina Umar, memiliki  pekerti semulia Saidina Uthman dan berjiwa besar serta pemurah seperti Saidina Abu Bakar. Biarpun kebanyakan anak-anak muda saf-saf hadapan semua sudah masuk ke alam mimpi, tersengguk-sengguk bagai nak menyembah lantai, Azim yang berada di bahagian belakang tetap mencuba untuk fokus dan mendengar setiap patah kata Imam Majid dengan teliti.

"Kedua-dua kaki anak Adam itu akan tetap berdiri dihadapan tuhannya tanpa berganjak sedikit pun pada hari kiamat sehingga ditanya tentang 4 perkara iaitu tentang umur, bagaimana ia habiskan,tentang masa muda kearah mana ia pergunakan,tentang hartanya, dari mana diperolehi dan bagaimana dihabiskan dan tentang ilmunya, apakah yang dibuat dengannya"(Riwayat At-Tarmizi)

Azim berasa terpukul apabila matanya terpandang poster hadis tersebut ketika hendak berlalu ke tandas selepas solat tadi. Dia teringat tadi baru sahaja dia mensia-siakan peluang yang Allah berikan kepadanya untuk menggunakan usia mudanya sebaik mungkin. Bukan dia tak tahu betapa besarnya ganjaran mengimami solat namun disebabkan tiada keberanian dan sikapnya yang suka  mencari seribu alasan itu menyebabkan dia melepaskan peluang itu berlalu begitu sahaja.

Sedang Azim duduk bersandar di tiang masjid, dia terlihat kelibat Imam Majid yang sedang bangkit dari duduknya perlahan-lahan dan berjalan menuju ke rak Al-Quran dibahagian depan masjid. Diperhati tubuh kecil Imam Majid dari jauh, entah kenapa Azim mula berasa sebak. Mengenangkan yang suatu hari nanti dia juga akan melalui usia itu, itupun kalau dipanjangkan umurnya.

Azim masih ingat raut wajah Imam Majid ketika beliau masih muda. Penduduk kampung semua mengaguminya. Masakan tidak, dalam usia beliau semuda Azim sudah menjadi imam besar di masjid. Penyakit-penyakit yang berkaitan dengan jin dan makhluk halus juga mampu dirawatinya. Berbeza benar dengan diri Azim, hanya tuhan sahaja yang tahu betapa jahat dan jahilnya diri.

Imam Majid menjadi orang penting dalam hidup Azim. Imamlah yang menjadi tempat Azim merungkaikan kekusutan hidupnya. Nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan dengan penuh kasih sayang akhirnya berjaya mencairkan hati keras Azim. Lama Azim termenung hingga dia terlupa yang dia ada banyak soalan untuk dibincangkan bersama Imam Majid. Azim tersentak apabila tiba-tiba angin kuat bertiup dan pintu terhempas dengan kuat. Segera Azim bangun mencari Imam Majid namun tiada siapa pun yang dilihatnya di dalam masjid ketika itu.

Mungkin lain kali. Tak ada rezeki nak jumpa Imam hari ini. Bisik Azim kepada hati kecilnya.

Azim menapak ke luar masjid. Sedang dia berkira-kira hendak menutup pintu pagar masjid, dilihatnya seorang gadis memakai tudung litup berjalan melintasi perkarangan masjid. Azim kenal benar dengan gadis itu.

“Nurul! Nurul! Tunggu kejap!” Azim memanggil dengan sekuat hatinya.

Namun gadis tersebut langsung tidak berpaling malah mempercepatkan lagi langkahnya.

Azim bingung. Tidak mungkin dia salah orang sebab dia kenal benar dengan gadis tersebut. Semasa kecil mereka tidak pernah berpisah. Kemana pun mesti berdua. Tapi hubungan mereka semakin renggang bila Azim menerima tawaran ke sekolah berasrama.

“Nuruuuul!!!” sekuat hati dijerit nama gadis tersebut. Kali ini, bayangan gadis tersebut terus hilang dari pandangannya. Baru sahaja tadi dia nampak Nurul menyeberangi titi di depan sana.
Azim bingung dengan situasi itu. Kenapa Nurul melarikan diri darinya?

Takkan Nurul takut dengan aku pulak ? Malu? Takkan pulak… Apa kes? Hairan bin pelik ni..tak pa..nanti aku akan selongkar..

Azim berjalan perlahan menyeberangi titi kecil itu. Dibawahnya mengalir sebatang sungai. Dia Teringat disitulah tempat dia dan Nurul bermain ketika kecil dulu. Langkahnya terhenti disitu. Masih terpahat di kotak ingatannya segaris parut di kening Nurul akibat perbuatannya. Risau betul dia ketika itu. Mujurlah ada orang kampung disekitar situ ketika dia menjerit meminta tolong.

“Saya tak suka lah awak kawan dengan budak Aqasha tu. Saya benci la tengok dia. Berlagak bagus ja depan orang.” Azim meluahkan marahnya kepada Nurul.

“Suka hati saya la nak berkawan dengan sapa pun. Awak ni kenapa nak marah-marah saya?”luah Nurul tidak puas hati.

“Lagipun Naim tu pandai, semua cikgu kat sekolah puji dia awak tahu tak. Dia baik bukan macam awak pandai tapi suka sangat cari pasal dengan orang. Sebab tu tak da orang nak kawan dengan awak.” tambah Nurul lagi.

“Blah la awak ni. Pergi la kawan dengan si Aqasha  perasan bagus tu. Saya pun tak teringin sangat pun ada kawan macam awak!” ujar Azim sambil menolak kasar bahu Nurul dan berlalu pergi.

Tiba-tiba, terdengar bunyi hentakan diikuti satu jeritan kecil. Suara Nurul. Kedengaran Nurul menangis kesakitan sambil memegang dahinya. Azim segera menoleh ke belakang. Dilihatnya Nurul terduduk dengan tangan didahinya dipenuhi darah. Azim cemas. Apalah yang mampu dilakukan oleh kanak-kanak sebaya Azim selain menjerit meminta tolong.

Namun tiada sesiapa pun yang melalui kawasan tersebut saat itu. Azim bertambah cemas. Darah di dahi Nurul semakin deras mengalir. Lantas Azim menbuka t-shirt putih yang dipakainya dan ditekapkan ke dahi Nurul. Hanya itu yang terlintas difikirannya saat itu. Mujurlah selepas beberapa ketika, Imam Majid muncul menyelamatkan keadaan. Diangkatnya Nurul dan dibawa ke klinik. Mujurlah.

Peristiwa itu pasti meninggalkan kesan mendalam terhadap Nurul. Semuanya salah dia. Beberapa hari selepas peristiwa itu, Azim berpindah ke sekolah asrama tanpa sempat meminta maaf terlebih dahulu. Perasaan malu yang menebal untuk berjumpa Nurul menyebabkan dia menyimpan sahaja maafnya itu. Sehinggalah saat tadi baru dia berjumpa semula dengan Nurul.

Mungkin Nurul masih marah dengan aku kot. Maafkan Azim, Nurul. Azim bertekad suatu masa nanti dia akan menemui Nurul  dan meminta maaf dengannya. Tapi mungkin bukan sekarang. Belum tiba masa yang sesuai, getus hati Azim.

Tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar di dalam kocek seluarnya. Dipandangnya skrin yang tertera nama Hani. Satu keluhan berat dilepaskan seraya mengangkat panggilan tersebut.

“Hello. Awak nak apa?” Azim bersuara bosan. Kedengaran suara Hani merengek meminta maaf dan memujuk supaya Azim segera kembali ke Kuala Lumpur. Rindu kononnya.

“Nampaknya awak ni tak faham apa yang saya cakap hari tu. Awak dengar sini baik-baik. Saya dengan awak dah habis, kosong, tamat. Jadi awak jangan nak call atau mesej saya lagi. Saya dah serik dengan perempuan murah macam awak ni.” Azim berkira-kira hendak memutuskan panggilan tersebut.

Namun, kedengaran suara Hani menghalangnya dari memutuskan talian. Azim diam memasang telinga. Terbeliak mata Azim mendengar berita yang dikhabarkan oleh Hani.

“Awak tipu, Hani! Saya tak percaya! Apa yang awak merepek ni?” Azim terus memutuskan talian. Ditarik nafas sedalm-dalamnya. Hatinya mula resah.

Mengapakah Nurul melarikan diri sebaik sahaja terlihat kelibat Azam?

Apakah berita yang disampaikan Hani sehingga mengejutkan Azim?

No comments:

Related Posts with Thumbnails