Showing posts with label NOVEL. Show all posts
Showing posts with label NOVEL. Show all posts

Friday, June 28, 2013

DI CELAHAN ASAR DAN MAGHRIB

Bismillah..



Cuaca mendung. Agak kelam berbanding hari biasa. Musim panas di bumi sonata bukanlah sesuatu yang begitu menyeronokkan. Alhamdulillah, kadang-kadang angin bertiup lembut meredakan sedikit bahang kering yang menyengat. Mungkin bagi yang ingin mencuci mata, bumi sonata menyediakan pencuci mata yang lebih hebat dari eyeMo. Malu rasanya hendak berkongsi di sini. Wanita-wanita berpakaian seolah-olah hanya mempunyai semeter kain untuk dibuat baju dan seluar.

Hari ini misiku hanya satu iaitu menawan sebuah bukit dibelakang rumahku. Usai solat asar aku berjalan laju menuju ke kaki bukit. Dua hari yang lepas, aku pernah ke sini bersama seorang seniorku. Kami mendaki hingga ke puncak yang pertama, Puncak yang jaraknya hanya 0.28km tapi subhanAllah, aku perlu memanjat dengan tangga yang anak tangganya aku kira mungkin seratus ke dua ratus langkah. Basah lencun bajuku dengan peluh. Tetapi ternyata di puncak pemandangannya masyaAllah, terbentang luas bandar besar, di sebelahnya laut yang membiru, diatasnya awan yang sedikit kelam mencantikkan lagi portrait dihadapanku ini. Hilang terus keletihan memanjat anak tangga tadi.

Kekaguman 2 hari yang lepas masih lagi terbawa-bawa hingga ke hari ini. Lalu aku mengambil keputusan untuk melengkapkan misiku dengan cubaan menawan puncak kedua. Sampai di persimpangan yang memisahkan dua puncak itu, aku terbaca papan tanda yang menyatakan jarak pendakian ke puncak kedua ialah 1.08km. Aku mengucap panjang, tapi alang-alang sudah sampai di situ aku teruskan juga langkahku. Berpantang undur sebelum ajal, kononnya. Kecil-kecil aku menapak. Jauh di belakangku kelihatan seorang pak cik yang umurnya ku kira dalam lingkungan 60-70an. Ku terus menapak, setiap langkah walaupun tidak bertangga tetapi geografi muka buminya yang berbatu membuatkan pendakianku sedikit melelahkan. Lenguh seluruh sendiku.

Aku berehat sebentar melepaskan lelah. Ku teguk air mineral sejuk yang ku bawa dari rumah. Sedang aku berehat sebentar membasahkan tekak, pak cik yang tadi nun jauh di belakang kini berjalan di hadapanku dan menyapaku. Aduh, aku rasa seperti arnab yang berlumba dengan kura-kura pula. Ke mana pergi semua tenaga mudaku? Seharusnya aku yang lebih berstamina seiring dengan usia mudaku. Mungkin sebenarnya organ-organ dalaman aku juga telah reput digigit oleh kemalasan aku selama ini. Aku terus bangun dan menyambung langkahku. Kali ini, lebih bersemangat dan aku berjaya mendahului pak cik tadi. Seharusnya aku belajar dari bangsa maju dihadapanku ini. Mereka seperti arnab yang laju, tetapi tidak akan berehat selagi tidak sampai ke penghujung.

Dihadapan aku kini tangga yang aku tidak nampak di mana hujungnya. Cuma yang kelihatan seorang mak cik yang ku kira umurnya sebaya dengan isteri abahku. Semakin aku menghampiri mak cik tersebut, kelihatan di tangannya seutas tasbih berwarna coklat. Tangannya perlahan membilang tasbih sambil kakinya perlahan mendaki tangga tersebut. Wah, aku rasa seperti ditampar saat itu. Dia yang beragama Buddha mampu mengamalkan agamanya dengan tekun sekali, sedangkan aku, tidak pernah terdetik pun di hati  untuk membawa tasbih dan berzikir sambil mendaki. Mungkin sudah diracuni pemikiran sekularisme agaknya, beribadah, bertasbih hanya dilakukan di tikar sejadah. Usai sahaja memberi salam dan melipat sejadah, agama tiada lagi dalam tentatif kehidupan seharian. 


Aku bercadang menunggu sehingga matahari terbenam. Siang yang panjang di musim panas menyebabkan aku terpaksa menunggu hingga jam hampir ke pukul 8.00 malam. SubhanAllah, pemandangan langit yang berwarna keemasan begitu memukau pandanganku. Potret Golden Hour yang amat mengasyikkan ku kira. Tetapi aku tidak boleh berlama-lama di situ, bimbang hari menjadi gelap dan menyukarkan aku untuk pulang. Aku segera mencapai beg sandang dan pantas bergerak menuruni bukit. Gambar-gambar yang ku ambil sudah cukup untuk merakamkan betapa indahnya momen yang kuhabiskan diatas puncak itu.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, mata-mata sekeliling masih memandangku. Ikutkan hati kecilku, ingin sekali aku terbang pulang ke rumah atau menjadi invisible, biar tiada siapa dapat melihatku. Sungguh aku rasa terasing di jalanan itu, seperti alien yang baru sahaja mendarat di bumi. Mata-mata mereka meliar memandang aku yang berbalut kepala, hanya kelihatan wajahku dan bajuku yang berbungkus penuh, hanya kelihatan dua tanganku. Langkah dilajukan, ingin sekali cepat sampai di rumah.

Tapi sebenarnya seronok juga bila difikirkan semula. Allah beri peluang untuk aku menjadi duta kecil islam, mengelilingi dunia dengan membawa imej islam, biar satu dunia tahu aku adalah seorang muslim. Kalau ditanya mengapa berhijab, jawapannya mudah saja. Aku analogikan sahaja seperti seorang chef, sekali dipandang seorang lelaki yang berpakaian seragam tukang masak akan digelar chef, tanpa perlu dia menceritakan identiti dirinya. Tetapi tatkala dia menanggalkan seragamnya itu, maka hilanglah identiti luarannya sebagai seorang chef. Bagi aku, hijab itulah seragamku, dan aku adalah full-time muslim, maka secara logiknya aku tidak boleh menanggalkan seragamku, nanti BOS aku marah, maka nerakalah tempatnya.

Hari ini sengaja aku berjalan di lorong universiti, dimana lorong-lorong di sini dipenuhi deretan restoren, coffee shop, pusat karaoke dan lain-lain yang seangkatan dengannya untuk pelajar disini menghilangkan stress mereka. Aku bercadang membeli Bubble tea, minuman kegemaranku disini. Dicelah-celah puluhan manusia yang berbagai ragam itu, aku melihat ada yang dengan wajah penuh kegembiraan menarik luggage ingin pulang ke kampung halaman, ada juga yang meng’ekspresi’kan kegembiraan dengan melanggah minuman keras dan terhuyung-hayang di jalanan, tak kurang juga yang berpelukan lelaki dan wanita memasuki pusat karaoke. Maklumlah hari ini merupakan hari terakhir peperiksaan bagi semester musim bunga. Tidak hairanlah semua orang ingin bergembira sepuas-puasnya.

Mereka-mereka dihadapanku ini, seakan-akan robot manusia yang diprogramkan. Mereka belajar, hinggakan ada yang bermalam di coffee shop, bersengkang mata menelaah untuk peperiksaan esoknya. Mereka lulus dengan cemerlang kemudian mendapat posisi tinggi di syarikat besar , bekerja bagaikan robot tanpa perasan. Keluar seawal subuh dan pulang ke rumah hanya bila malam sudah pun menjengah. Bagi menghilangkan tekanan di tempat kerja,mereka minum dengan rakan sekerja hingga ke subuh dihujung minggu. Sungguh, penyelesaian bagi setiap masalah mereka hanyalah arak. Kasihan bangsa maju ini, mereka meraba-raba mencari bahagia dalam kegelapan. Namun jika direfleksi semula kepada diri ini, sudah ada cahaya islam yang menyuluh terang jalan dihadapanku, tetapi diri sendiri pula yang malas melangkah, MALAS.

Sampai aku dirumah, segera aku berwudhuk dan menunaikan solat maghrib. Dalam sujud, aku titipkan doa kesejahteraan untuk kedua orang tuaku, untuk saudara-saudaraku di Malaysia amnya dan di Palestin, Syria dan Myanmar khususnya. Semoga diri ini juga dipelihara Rabb selalu. Alhamdulillah, syukur untuk pengalaman berharga DI CELAHAN ASAR DAN MAGHRIB.

Tuesday, June 4, 2013

Sebenarnya saya cinta Dia...

[Nama, tempat dan jalan cerita hanyalah rekaan dan imiginasi penulis, tiada kaitan dengan sesiapa]
Suria menapak perlahan, jalannya penuh cermat agar tidak menggangu tidur rakan serumahnya. Usai meneguk segelas air, Suria kembali ke biliknya.
'Eh, belum tidur ke Asmani nih? lampu pun menyala lagi tu.`
Suria mengumam sendirian sambil langkahnya menuju ke bilik Asmani. Perlahan-lahan pintu bilik yang terbuka sedikit itu dikuaknya. Ternyata Asmani tertidur di meja belajarnya.
Semakin dekat dengan hari peperiksaan, gelagat Asmani semakin pelik. Balik sahaja dari kelas Asmani pasti akan terus masuk ke biliknya tanpa menegur Suria. Suria yakin dan pasti mereka tidak bergaduh. Cuma sejak kebelakangan ini, sejak kejadian di kantin aritu, Asmani seolah-olah meminta utk diberi ruang dan waktu untuk bersendirian. Suria cuba untuk memahami sahabat baiknya dan bersangka baik.
Pagi ini, Suria bangun awal dari biasa. Nasi lemak kegemaran Asmani disiapkan dengan harapan mereka dapat bersarapan bersama. Sudah lebih tiga hari sejak kejadian itu mereka tidak makan bersama.
`Asma, jom la makan sekali. Aku dah masak breakfast spesial utk kau,` ajak Suria.
`Sorry Suri, aku tak selera la pagi ni. Kau makan la dulu. By the way, pagi ni aku pergi kelas dengan Haslizah, ada hal sikit kena setelkan. Kau guna ja motor aku tu,` balas Asmani sambil berlalu menunggu Haslizah di luar. Mereka membahasakan diri sebagai Suri dan Asma ketika berbual.
Sungguh itu bukan Asmani yang Suria kenal. Asmani bukan jenis yang tak menghargai pemberian orang, terutamanya dari sahabat baik sendiri. Asmani pasti akan tunjukkan muka paling gembira kalau menerima sesuatu, walaupun sebenarnya benda yang diterima itu tidaklah seberapa. Ada sesuatu yang Asmani cuba sembunyikan dari Suria. Asmani tak mampu memandang mata Suria ketika bercakap tadi walhal mereka bukanlah orang asing dalam rumah ni.
Petang itu, Suria balik awal kerana kelas Fizik dibatalkan. Bersama secawan kopi panas, Suria duduk di atas sofa sambil memandang ke luar. Pandangannya jauh dilemparkan ke hadapan sambil fikirannya menerawang ke kisah yang terjadi hampir lima tahun dulu. Kisah yang menjadi titik mula Suria bertemu sahabat baik dunia akhiratnya itu.
Imbas kembali : 5 tahun yang lalu
Kini genap sebulan di INTEC. Sebagai seorang pelajar program kejuruteraan Korea Suria masih belum sepenuhnya mengenali rakan-rakannya batchnya yang 83 orang itu.
`Ah, peduli lah, kenapa aku kena sibuk-sibuk nak kenal dan hafal nama diorang, bukannya boleh jamin aku fly pun. Tido lagi bagus`
Ttok! Ttok!
Bunyi fb mesengger menghantar notification ada mesej di inbox. Laju tangan Suria mencapai henset, dibukanya inbox.
`Assalamualaikum, saya nampak awak sorang-sorang tadi kat cafe Akasia, boleh berkenalan? btw, fb awak ni saya dapat dari classmate awak, jangan marah eh. hehe`
Mesej dari mamat blok sebelah dibiarkan.
`Hmm nama saya macam yang dalam fb ni la, tapi kawan-kawan panggil saya Mat. Saya ikhlas nak berkawan dengan awak. Please.`
Mesej dibaca tapi tak dibalas.
`Awak~`
`Please. Nak berkenalan jer.`
`Saya ikhlas.`
Suria tersenyum. Dalam hati berbunga, ada sedikit berdebar. Maklumlah ini kali pertama, ada lelaki nak berkawan dengannya, ikhlas katanya. Apa salahnya mencuba kan.
`Hai. Saya Suria. Panggil Su. Kenapa nak kenal? Saya ada berhutang ke dengan awak?` Suria membalas dengan nada sedikit keras, mengelak di cop mudah cair walhal hati sudah mula berbunga.
Akhirnya, ego setinggi tembok yang dibina Suria berjaya diruntuhkan oleh Mat. Mat lelaki yang pandai memujuk, Mat lelaki yang pandai mengambil hati, mengotakan setiap janjinya. Rupanya bukan semua lelaki jahat macam ayah. Siang malam Suria hanyalah teringatkan Mat. Maka bermulah episod bahagia dalam kehidupan Suria, seperti remaja lain.
Dalam perjalanan untuk berjumpa dengan Mat di hujung bangunan kelas komputer, Suria terlanggar classmatenya, tak ingat siapa namanya. Habis jatuh bertaburan kertas yang dipegang. Suria hanya memandang tanpa mengucap maaf dan terus melangkah pergi.
`Padan muka dia, jalan sambil tidur ke apa. Jalan tu pandang la kiri kanan, asyik tunduk je, mahu tak berlanggar. Isy, mesti Mat dah lama menunggu.` Suria membebel dalam hati.
Asmani mengutip kertas yang bertaburan di atas lantai. Dia kenal pelajar yang melanggarnya tadi. Suria binti Muiz, classmate yang tempat duduknya selang dua meja darinya. Seorang pelajar yang pandai, cepat faham apa yang diajar tapi suka bersendirian. Pernah Asmani menghulurkan tangan untuk berkenalan, tapi salamnya tak bersambut, malah Suria buat-buat tak nampak dan terus berlalu. Asmani hanya tersenyum saat itu.
`Tak mengapa, kalau bukan hari ini, mungkin esok. Assalamualaikum Suria binti Muiz. Saya tahu awak baik, semoga suatu masa nanti awak sudi berkawan dengan saya.` Asmani berdoa dalam hati.
Beberapa hari selepas itu, Suria tidak kelihatan di tempat duduknya. Asmani mula rasa tak sedap hati, selalunya Suria antara orang yang awal sampai ke kelas. Pagi tadi dia nampak Suria di barisan depan sedang berbaris untuk naik bas ke kelas. Bermakna dia datang ke sekolah tapi tidak masuk ke kelas.
Tiba waktu rehat, Asmani cuba mencari Suria di bangunan yang pernah mereka terlanggar dulu. Entah mengapa firasatnya kuat mengatakan Suria di sana.
`Kenapa dengan awak ni? Dulu bukan main awak ajak saya berkenalan, sekarang..` Suara Suria terputus, hanya esakan kedengaran.
`Apa sebabnya awak nak putus? Awak tipu saya. Semua lelaki sama, ayah jahat awak pun jahat.` Suara Suria yang kuat tadi mula mengendur, menggambarkan hatinya yang betul-betul kecewa.
Selang beberapa minit, kedengaran suara seorang lelaki. Asmani kenal dengan pemilik suara itu, budak program kejuruteraan Australia. Asmani yang masih di balik dinding tekun mendengar.
`Saya mintak maaf, masa tu saya memang ikhlas nak berkawan dengan awak. Sumpah, tak ada niat nak menipu atau mainkan awak, Su. Tapi cara kita ni salah. Awak perempuan, saya lelaki dan tiada istilah berkawan antara lelaki dan perempuan. Selama ni, saya tak tahu benda ni salah. Saya dah taknak terus berdosa, Su.` Mat cuba menenangkan Suria. Nafas ditarik perlahan dan Mat terus menerangkan perkara sebenar kepada Suria.
`Sungguh, bukan sebab ada perempuan lain saya ambil keputusan ni. Suria binti Muiz, awak dibesarkan dengan penuh kehormatan oleh ibu bapa awak, tapi saya rasa saya merendah-rendahkan martabat awak. Saya... saya tak sepatutnya menghalalkan apa yang belum halal untuk saya.` Mat terus menyambung bila Suria hanya diam.
`Saya rasa saya dah nampak matlamat hidup saya yang sebenar, kenapa Allah ciptakan kita. Selama ni saya jahil, saya hanya tahu keseronokan dunia. Allah tak ciptakan kita untuk bermain-main dengan cinta nafsu macam ni, Suria. Tugas kita lebih besar, Suria. Saya harap suatu hari nanti awak akan faham apa yang saya faham sekarang ni. Saya sedang baiki diri dan ingin menjadi lebih baik. Saya terpaksa pergi dulu, Suria. Andai betul awak jodoh saya, semoga Allah pertemukan kita melalui cara yang betul.` Mat terus melangkah pergi. Andai dia terus menunggu, bimbang hatinya akan berpatah balik.
Asmani hanya kaku di tempatnya. Tiba-tiba kelibat Mat muncul di balik dinding. Asmani kaget, mata mereka bertentangan, tapi Asmani cepat-cepat menundukkan pandangannya. Mat pun tidak menunggu lama dan terus berlalu dari situ.
Asmani cuba menghampiri Suria, perlahan-lahan duduk disebelahnya. Dihulurnya sehelai tisu. Asmani hanya duduk menemani Suria tanpa berbuat apa-apa. Esak tangis Suria mula kedengaran dan semakin kuat bila Asmani mengusap belakangnya. Akhirnya Suria menangis di bahu Asmani.
Ttok! Ttok!
Bunyi mesej masuk. Lamunan Suria berkecai.
Asmani adalah orang yang ikhlas bersahabat dengannya. Ketika dia ditinggalkan Mat, Asmani memujuk hatinya dengan cinta kepada yang lebih agung. Suria mula berjinak-jinak dengan majlis ilmu kerana mengikut ajakan Asmani. Dari situ, dia mula mengenali usrah dan selesa dengannya. Jiwanya terasa terisi dan tenang bila mengikuti usrah. Sungguh kini Suria menyedari nikmat terbesar untuk manusia adalah iman dan islam. Dan kini dia mula mengerti apa penyebab Mat memutuskan hubungan dengannya dulu. Syukur, ya Allah atas perkenalan dengan sahabatku ini.
Mesej yang masuk tadi dari Asmani rupanya.
`Suri, aku rasa kita kena jumpa. Aku tunggu kat Ediya jam 5.`
Suria segera bersiap, pasti ada perkara penting yang ingin diberitahu Asmani. Mungkin dia ingin meluahkan masalah yang dihadapi kebelakangan ni. Suria nekad kali ni, dia yang perlu memecahkan jurang ini sekaligus merapatkan kembali hubungan mereka.
Enjin motor dihidupkan. Topi keledar disarung dan perlahan motor bergerak meninggalkan halaman rumah.
Suasana cafe Ediya Coffee sunyi. Tak ramai pelanggan hari ni. Suria tenang menunggu Asmani. Cafe Mocha kegemarannya dihirup perlahan.
Duduknya yang menghadap ke dinding menyebabkan Suria tidak perasan kehadiran Asmani. Bahu Suria ditepuk perlahan. Suria menoleh ke belakang.
Ppong! Ppong! kedengaran letupan kecil.
Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan SURIA...
`Suria, selamat hari lahir. Semoga Allah meredhai persahabatan kita. Maaf atas sikap aku yang buruk dua tiga hari kebelakangan ni. Kejadian kat kelas tu pun salah satunya. Itu semua idea Haslizah and the gang, aku follow ja. Aku sayang kau fillah.` bisik Asmani ketika memeluk Suria.
Suria mengesat air matanya. Dipandang wajah sahabatnya satu persatu. Sungguh ukhwah ini hanya manis bila ia bersalut keimanan dan kecintaan kepadaMu ya Allah.
`Terima kasih Asmani kerana mengenalkan aku dengan tuhan melalui tarbiyah.` Suria berkata dalam hatinya. 
by: akuhambaAllah

Monday, September 26, 2011

NOVEL : Cerita Cintaku 5

Bismillah..



Bahagian 5
Sedutan Episod lalu...
gambar sekadar hiasan


Harapkan pagar, pagar makan padi. Harapkan kawan, kawan makan kawan. Sampai hati kau Rizman. Selama ini, dia percaya pada Rizman sepenuhnya. tanpa curiga dia membenarkan mereka berdua menghabiskan masa bersama kerana dia terlalu sibuk dengan rutin kerjanya yang baru dinaikkan pangkat sebagai Assistant Manager. Dia kekurangan masa untuk menemani Hani. Hampir saban minggu dia melihat sahaja kelakuan jijik mereka berdua. Kadang-kadang memang sengaja dia memberi alasan untuk tidak turut serta dalam ‘dating’ mereka. Hendak dilihat dan dipastikan sendiri dengan mata kepalanya.


Apakah yang bakal dilakukan Azim Selepas melihat kejadian di Kafe Setabak itu?

....................................


Di kampung Azim
Azim berbasikal meniti batas sawah dan sesekali kayuhannya terhenti apabila beberapa ekor kerbau dan lembu menghalangi jalannya. Teringat zaman kanak – kanaknya ketika dia mengayuh basikal melalui sawah milik mak Limah yang terkenal dengan garangnya. Segarang-garang mak Limah pun, orang tua itu jugalah yang menyapu ubat ke lukanya masa terjatuh ke dalam sawah. Diselak seluar pendek paras lutut yang dipakainya. Ternyata parut di lutut kirinya itu masih kelihatan.

Diberhentikan basikal di pondok tepi sawah milik mak Limah itu. Dibetul-betulkan topi di kepala. Punggungnya dilabuhkan di pondok usang itu sambil melemparkan pandangan jauh di hadapannya. Sapaan angin yang seakan-akan membisikkan ketenangan menyapu lembut kulit sawo matangnya. Misai nipis dijaga rapi, badan yang sasa dan tegap, sesekali pandang mirip Atuknya ketika zaman muda dahulu.

Pemandangan dihadapannya seakan-akan sebuah lukisan, indah sungguh. Ketenangan mula meresap ke dalam hatinya, tenang yang teramat. Tak pernah dia berperasaan sebegitu. Sungguh melihat ciptaan alam yang belum tercemar dengan tangan-tangan kotor manusia menjadikan jiwanya tenang. Otak Azim ligat mengimbas kembali pesan ustaznya,

Hamparkanlah pandanganmu melihat pantai yang berombak, gunung- ganang yang gah berdiri, awan yang berarak tanpa henti dan matahari serta bulan yang silih berganti memancarkan sinarnya, semuanya mengikut sunatullah, mengikut percaturan yang ditetapkan penciptanya. Allah berfirman dalam surah Ar-ra’ad : 28 yang bermaksud,

Ketahuilah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang.

Orang mukmin yang melihat alam dengan mata hati akan merasai nikmat luar biasa, kekadang hingga mampu menitiskan air mata.Berbeza apabila melihat dengan mata fizikal. Mungkin alam ini hanya sebagai perhiasan yang tiada istimewa baginya, ada dan tiadanya tiada beza. Azim, jadilah manusia yang beruntung dengan memilih untuk melihat segalanya dengan mata hati.”  

Ucapan itu terasa menusuk ke kalbu apabila ustaz turut mengusap kepalanya, sama seperti yang sering dilakukan oleh Atuk kepadanya setiap kali selepas solat. Tumpah kasihnya kepada ustaz itu.

Azim tersentak apabila sekumpulan burung tiba-tiba terbang serentak dan riuh berbisik sesama mereka dalam bahasa yang tidak difahami manusia. Minda separa sedar Azim memaksa dirinya kembali ke alam nyata, alam realiti. Dipandangnya jam Roll-ex berharga belasan ribu hadiah ulang tahun kelahirannya yang lepas itu lalu dipercepatkan kayuhan ke kebun Atuk. Lupa sebentar tujuan asalnya dek kerana terleka dengan pemandangan indah yang memukau tadi.

Ketika Azim sampai di kebun Atuknya, kelihatan orang tua itu sedang berehat di pondok papan yang dibina untuk melepaskan lelah setelah penat berkebun. Mata orang tua itu terpejam rapat. Lena sungguh. Mungkin dek terlalu penat seharian berkebun, getus hati kecil Azim. Enggan diganggu tidur nyenyak Atuknya itu, Azim duduk perlahan-lahan di sebelah Atuknya.

Dilihatnya batas-batas untuk ditanam benih jagung hanya siap separuh sahaja. Manakala batas untuk petola dan cili telah siap semuanya. Lantas Azim mengambil cangkul yang disimpan dalam tong sebelah motosikal Atuk. Dimulakan dengan mencangkul batas di sebelah depan kebun hinggalah batas yang ke-5 telah siap dicangkulnya. Mujurlah dia pernah berguru dengan Atuknya serba sedikit ilmu bercucuk-tanam ini. Tidaklah dia seolah-olah ‘rusa bandar’ yang masuk kampung. Serba-serbi tidak tahu, hanya tahu duduk goyang kaki, angguk-angguk geleng-geleng sambil mendengar muzik rancak di bawah air-cond sahaja.

Azim menjenguk ke kawasan yang lain. Dilihatnya terung dan kacang panjang telah menampakkan hasilnya dan sudah boleh dipetik. Patutlah Atuk beria-ia mengajaknya ke kebun awal pagi esok. Azim terus melangkah ke kebun buah milik Opahnya, bersebelahan kebun sayur Atuk. Parang di tangan digenggam kemas. Dicantasnya semak-samun yang memenuhi kebun itu. Dahulu ketika masih di sekolah rendah, Azim selalu melarikan diri ke kebun Opah apabila dimarahi. Di situ, dia mampu duduk seharian tanpa bosan. Sekejap-sekejap dicarinya buah durian yang luruh ataupun dipanjatnya pokok manggis, menghabiskan buah di atas pokok. Hinggakan bersepah kulit manggis di bawah pokok.

Azim duduk bersahaja di bangsal kecil dalam kebun Opahnya itu. Fikirannya mengelamun jauh entah ke mana. Nyamuk yang hinggap di lengannya ditampar kuat tidak dibiarkan hidup. Sesekali dia terfikirkan Nurul. Dia masih bingung kenapa Nurul melarikan diri sewaktu terserempak dengannya tempoh hari. Takkanlah kisah 15 tahun yang lalu masih belum dilupai Nurul? Hinggakan marahnya tidak surut-surut dan enggan bertemu dengan aku? Tapi Nurul memang berhak untuk terus marah pun kat aku. Sepatutnya aku meminta maaf atas kekasaranku menolak Nurul hingga terjatuh dan dahinya tersembam ke batu. Parutnya masih kekal hingga kini menurut cerita Opah.

Imbas kembali
Di tepi sungai

“Blah la awak ni. Pergi la kawan dengan si Aqasha  perasan bagus tu. Saya pun tak teringin sangat pun ada kawan macam awak!” ujar Azim sambil menolak kasar bahu Nurul dan berlalu pergi.

Tiba-tiba, terdengar bunyi hentakan diikuti satu jeritan kecil. Suara Nurul. Kedengaran Nurul menangis kesakitan sambil memegang dahinya. Azim segera menoleh ke belakang. Dilihatnya Nurul terduduk dengan tangan didahinya dipenuhi darah.

Hanya tuhan yang tahu betapa cemasnya Azim saat itu. Gara-gara perbuatannya yang menolak kasar bahu Nurul hingga kepalanya terhantuk batu itu memang di luar jangkaannya. Sangkanya dia hanya menolak sedikit sahaja sekadar melempiaskan rasa tidak puas hatinya saat itu. Tak sangka begitu kuat sekali tolakannya itu. Namun hingga kini, dia masih berhutang maaf dengan Nurul.

Opah pernah bercerita perihal Nurul kepada Azim. Namun sikap egonya membuatkan Azim tidak menunjukkan reaksi berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang gadis tersebut. Namun jauh di sudut hati lelakinya, meronta-ronta agar Opah meneruskan ceritanya tentang gadis itu. Mungkin Opah mengerti naluri Azim, mungkin juga dia dapat membaca riak wajah Azim walaupun tanpa dia bersuara. Opah terus bercerita perkembangan Nurul bermula selepas Azim menjejakkan kaki ke asrama penuh hinggalah Nurul kini bergelar guru di sekolah lama mereka.

Seperti yang diduga Opah, akhirnya Azim bersuara kerana lonjakan perasaan ingin tahunya tidak dapat dibendung lagi. Semuanya jelas terpancar di wajah walaupun nada suaranya cuba dikawal. Opah tersenyum melihat gelagat Azim itu. Dia kenal benar dengan perangai cucu intan payungnya itu.

“Nurul selalu ka datang jumpa Opah?” Azim berbasa-basi memulakan bicara. Hati-hati dia menyusun bicara agar tidak nampak terlalu ketara kegundahan hatinya.

“Selalu tu tak ada la. Tapi bila dia ada masa dia selalu masakkan gulai lemak tempoyak hantar sini. Baik budaknya Nurul tu. Tapi sayang….” Opah mematikan bicaranya disitu untuk memancing Azim bertanya.

“Kenapa Opah? Apa yang sayangnya?” Azim terus bertanya tanpa menunggu. Tidak sabar benar nampaknya. Opah hanya tersenyum meleret. Sudah diagak beginilah respon Azim.

“Opah ada bersembang jugak dengan Imam Majid tu. Dengar-dengar minggu depan ada orang nak masuk meminang anak saudaranya tu. Orang kampung sebelah rasanya. Imam Majid yang kenalkan, pilihan keluarga.” Opah terus menunggu respon Azim.

Azim berdehem membasahkan tekaknya. Mungkin juga menutup rasa terkejutnya dari jelas kelihatan di hadapan Opah. Patutlah dia lari bila nampak aku, rupanya dah nak jadi tunang orang. Tapi, apa kaitannya?

“Azim! Azim! Azim.....! Apa yang kau menungkan sampai Opah panggil pun tak dengar ni? Macam orang ditinggalkan buah hati Opah tengok muka tu?” Opah sengaja serkap jarang.

“Eh, tak dalah Opah. Sampai ke situ pulak.” Azim terus berlalu pergi kononnya hendak menjengah ayam di reban belakang rumah. Sedangkan Azim sendiri yang menjual semua ayam di reban kepada Tauke Ah Long. Opah dapat menghidu ada yang tidak kena dengan Azim. Biarlah Azim sendiri menyelesaikannya, putus Opah.

Pondok Opah
Azim tersenyum sendirian di bangsal itu bila teringatkan perbualannya dengan Opah mengenai Nurul. Tentu Opah dapat menghidu kegalauan hatinya saat itu. Bagaimana dia boleh terlupa yang semua ayam di reban itu telah dijual? Sedangkan dia sendiri yang mengikut Atuk menjual ayam-ayam tersebut kepada Tauke Ah Long. Dia mengutuk dirinya sendiri. Perasaan malu bercampur resah dihatinya, hanya Allah yang tahu.

Dan bila terkenangkan Nurul yang akan bertunang dengan pilihan keluarganya, Azim hanya sekadar mampu mendoakan kebahagian Nurul. Semestinya jodoh itu jodoh yang terbaik buat Nurul. Dia tidak tahu keadaan hati dan perasaannya mendengar khabaran itu. Ketika Hani masih disisinya, tidak pernah dia terfikirkan tentang Nurul. Kini, apabila khabaran pertunangan itu diterima, Azim merasa berat untuk menerima khabaran itu. Seolah-olah kehilangan sesuatu.

Mungkin kehilangan sahabat rapat zaman kanak-kanaknya, atau kehilangan seseorang yang mula menapak di hatinya. Azim benar-benar bingung. Mungkin terlalu awal untuk merungkai perasaannya terhadap Nurul. Mungkin juga itu hanya perasaan sementara yang hadir saat jiwanya gelisah memikirkan Hani. Azim keliru dengan hatinya kala ini.

Di rumah Opah
Malam itu, fikiran Azim melayang nun jauh hingga ke lubuk nostalgia lamanya. Kipas yang ligat berpusing di atas kepala direnung seakan-akan menembusi atap rumah pusaka itu. Sekejap-sekejap dipusingnya ke kiri. Sekejap-sekejap dipusingnya ke kanan. Lama dia berkeadaan begitu seolah-olah ibu ayam hilang anak, resah dan gelisah. Wajah Nurul yang asyik muncul di fikirannya akhir-akhir ini menyukarkan tidur nyenyaknya. Akhirnya tubuh Azim tidak lagi bergerak ke kiri ke kanan seperti sebelumnya. Azim terlelap jua akhirnya.

Azim kini sedang melalui sebuah taman yang sungguh indah. Dihadapannya berkembang mekar bunga matahari yang kekuningan. Di sebelah kirinya bersusun kemas bunga ros merah dan putih, ditanam berselang-seli. Azim berjalan perlahan menginjak tanah yang lembut seakan-akan kapas itu. Langkahnya cermat agar tidak terpijak pepohon kecil yang menjalar di bawah.

Azim meneruskan langkah hinggalah dia terpandang satu sungai kecil, jernih airnya mengalir tenang seolah-olah menyambut kehadiran Azim di negeri asing ini. Sesekali kedengaran unggas dan cangkerik berbicara sesama sendiri, meriuhkan lagi suasana sepi yang menyelubungi saat itu. Dari kejauhan Azim terpandang susuk tubuh yang amat dikenalinya. Dipamit-pamit agar gerangan empunya tubuh itu tidak berganjak ke mana-mana dan menunggunya di situ.

“Tunggu, jangan pergi dulu!” Gerangan yang berjubah putih itu tetap berjalan perlahan-lahan mengorak langkah seolah-olah tidak mendengari panggilan Azim.

Azim berlari sekuat hati menghampiri gerangan berjubah putih itu. Sempat disentuhnya bahu kanan susuk tubuh tersebut. Lantas si jubah putih itu pun memalingkan wajahnya. Azim terinjak setapak ke belakang dan terpaksa manahan matanya dengan tangan dek silauan cahaya dari wajah si jubah putih tersebut. Cahaya yang terlalu terang hingga Azim tidak dapat mengecam gerangan si jubah putih itu. Azim cuma cemas sebentar namun tiada ketakutan yang dirasainya kala ini.

“Azim, teruskanlah perjalananmu Nak. Teruskan langkahmu hingga kau ketemu cahaya yang mampu menerangi gelapmu itu.” Cahaya di wajahnya kini beransur pudar hingga membolehkan Azim melihat wajah si jubah putih tersebut. Azim sangat mengenalinya.

Perlahan-lahan gerangan jubah putih tersebut seolah-olah menjauhi Azim setapak demi setapak hingga akhirnya hilang dari pandangannya. Azim cuba berlari mendapatkan si jubah putih itu namun usahanya sia-sia sahaja. Kakinya seakan-akan terlekat di tanah. Azim menjerit-jerit memanggil gerangan si jubah putih itu.

“Imam! Imam Majid! Tunggu!”Azim terjerit-jerit hingga dia bangun terkejut dari lenanya.

“Astaghfirullah!” Azim beristghfar berulang kali sambil meraup mukanya. Mimpi yang dialaminya sebentar tadi benar-benar menyesakkan nafasnya. Tercungap-cungap helaan nafasnya. Azim terus bangun dari pembaringannya dan berkira-kira untuk mengambil wudhuk. Moga-moga dengan cara itu dapat menenangkan kerisauan hatinya kala ini.

"Apakah sememangnya jodoh mereka terhenti di situ?"

Monday, June 27, 2011

NOVEL : Cerita Cintaku 4

Bismillah..

Salam semua, ni sambungannya, kalau ada kekurangan mintak maap noh n bley komen tau utk baiki jalan cerita ni..maseh suma~~


Bahagian 4

Sedutan bahagian lepas….

Dari dalam kereta, Azim melihat beberapa orang berjalan menuju ke masjid. Dalam kelompok manusia itu, Azim seolah-olah terpandang seseorang yang dikenalinya.

Tak mungkinlah dia. Dia?? pergi masjid?? kiamat la jawabnya. Solat pon tak pernah. Orang lain tu. Pelanduk dua serupa kot.

Azim cuba meyakinkan dirinya kelibat yang dia nampak tadi tu bukanlah seseorang yang sedang bermain di fikirannya saat itu. Disandarkan kembali kepalanya di kusyen kereta.
 ...................

Rizman berjalan seperti biasa ke masjid. Memang sengaja rumah sewa yang dicari berdekatan dengan masjid. Mudah untuk dia ke sana dengan hanya berjalan kaki. Tapi malam itu, menjadi luar kebiasaannya apabila dia terlihat kelibat Azim ketika hendak melangkah ke masjid. Terhenti sebentar langkahnya kerana tidak percaya pada pandangan mata kepalanya sendiri. Namun dalam hati kecilnya terdetik sesuatu. Syukurlah akhirnya kau berubah,Azim.

Rizman mengakui dalam hatinya yang hidayah itu milik Allah dan menjadi hakNya untuk membuka jalan hidayah itu kepada sesiapapun hatta kepada insan hina yang telah jauh tersesat seperti dirinya. Maha Besar Allah atas segala rahmat dan kurnianNya. Rizman memanjatkan kesyukuran seraya beristighfar dalam hati mengenangkan zaman silamnya. Rizman tersentak apabila seorang jemaah merempuhnya. Langkah kakinya terus diatur laju menuju ke masjid walaupun ada sesuatu yang perlu dibicarakan bersama Azim. Tiada panggilan sepenting panggilan Ilahi, bisik hati kecilnya.

Rizman berhajat untuk menyapa Azim apabila usai solat tadi namun dia hampa. Hatta bayang-bayang Azim pun sudah tidak kelihatan di perkarangan masjid. Rizman sebenarnya menyimpan satu rahsia besar yang patut diketahui Azim, mengenai Hani. Rahsia yang patut dibongkarkan sebelum hubungan Azim dan Hani bertukar ke hubungan yang lebih serius. Khabar terakhir yang didengarinya tentang hubungan mereka berdua adalah tali pertunangan akan diikat dalam masa terdekat namun kesahihannya tidak diketahui.

Sebelum itu terjadi, Azim perlu mendengar penjelasan lanjut darinya sebelum memutuskan untuk meneruskan hubungannya dengan Hani atau tidak. Sikap Azim yang kadang-kala suka serkap jarang dan membuat keputusan terburu-buru itu sungguh merisaukan Rizman. Sebagai teman baik Azim, dirasakan satu tanggungjawab besar sedang dipikul dibahunya selagi perkara sebenar tidak dijelaskan kepada Azim.

Imbas kembali
Rumah Azim di Ibu kota

Telefon Azim bergetar lagi. Entah untuk kali yang ke berapa. Dek kerana bunyi getaran yang membingitkan telinga itu, Azim mencapai telefonnya. Dinyalakan lampu tidur kecil disebelah katilnya. Bunyi itu ternyata menganggu tidurnya.

Hani ni tak abis-abis nak ganggu hidup aku. Dasar perempuan murahan. Azim merengus menzahirkan kebosanannya melayan karenah tak tahu malu Hani itu.

Dipandangnya sekilas skrin telefon. 10 missed calls dan 1 sms. Azim tahu 10 missed calls itu datangnya dari Hani dan dia malas benar untuk ambil kisah, namun sms yang satu itu menarik perhatiannya. Bukan dari Hani. Tapi dari seseorang yang pernah dia tumpangkan siang tadi.

Terima kasih banyak-banyak sebab tumpangkan saya tadi. Allah sahaja yang dapat membalas jasa Azim. Sebelum saya terlupa, hujung minggu ni ada talk dekat masjid. Speaker dijemput khas dari Madinah. Cuma nak inform, kalau-kalau Azim berminat. Salam.

Azim pelik mendengar perkataan talk digunakan oleh Naim, lebih tepat pertama kali didengarinya seumur hidup. Sedangkan selalunya perkataan seperti ceramah ke, kuliah ke, khutbah ke… mungkin ni cara Naim nak ajak aku kot. Kalau dia sebut ceramah agama, nak ke orang macam aku ni pergi? Bijak jugak si Naim ni. Dalam hati Azim memuji kepintaran dan daya kreativiti Naim dalam mengajak kearah kebaikan. Azim tersenyum sendiri. Cepat-cepat dia membalas sms Naim. Jarinya laju menaip di keypad Strawberrynya itu.

Minggu ni saya bercuti di kampung. Rasanya tak dapat ikut. Anyway, thanks ajak.

Selepas menekan send, Azim terus membaringkan kembali badannya dan mematikan suis lampu. Dia berkira-kira untuk menyambung semula tidurnya yang terganggu sebentar tadi. Puas dicuba lelapkan mata namun ternyata dia gagal. Terlayar-layar di skrin mindanya peristiwa siang tadi ketika pulang dari kerja bersama Naim. Mimpi yang meninggalkan seribu persoalan dalam kepalanya.

Azim bingung bagaimana dia boleh teresak-esak sebegitu rupa, sedangkan dia bukanlah jenis lelaki yang senang menitiskan air mata seperti sesetengah kawan-kawannya yang menangis tersedu-sedan hanya kerana sad ending dalam drama korea. Dia bukanlah lelaki yang mudah menangis kerana putus cinta atau sebagainya. Dia lelaki yang kononnya kuat, tidak pernah menangis tapi malam itu dia tumpas akhirnya. Dia kalah jua akhirnya kerana takutkan satu kuasa yang ternyata lebih besar dari keegoannya.

Azim masih ligat berfikir apakah yang ingin disampaikan kepadanya melalui mimpi tersebut. Dipandangnya kosong potret Monalisa dan beberapa lukisan lain yang tergantung di biliknya. Selalunya gambar-gambar itulah yang menenangkan jiwanya tatkala serabut memikirkan urusan pejabat dan sebagainya. Dan sepatutnya dia berehat seukupnya kerana esok dia perlu memandu jauh pulang ke kampung Opahnya. Puas dicari kesimpulan mimpinya itu hingga akhirnya Azim terlelap begitu sahaja.

Imbas kembali
Di Kafe Setabak, KL

Hari ini, Hani keluar lagi minum kopi bersama rakan baik teman lelakinya merangkap pendengar setia ceritera cintanya dengan Azim.  Banyak masa dihabiskan bertiga. Namun kebelakangan ini, Azim jarang sekali menyertai mereka. Dihambat kesibukan kerja barangkali. Berpelukan setiap kali berjumpa menjadi perkara biasa memandangkan mereka bertiga sahabat rapat semenjak menuntut di Korea lagi. Namun setelah bergelak tawa berkongsi cerita mengenai kehidupan seharian, Rizman memulakan perbualan yang agak serius.

“Hani, baik kau hentikan perangai buruk kau ni. Aku bukan apa, Cuma aku kesian dengan Azim tu. Dia tu kawan baik aku tau, aku tak nak belakang hari nanti dia susah. Lagipun, tak baik kau mainkan perasaan orang ni, Hani.” Rizman cuba menasihati Hani dengan cara baik.

“Mana ada aku mainkan perasaan sapa-sapa. Lagipun jangan nak nasihat orang la, Riz. Kau tu baik sangat ka? Ke hulu ke hilir berkepit dengan perempuan entah sapa-sapa. Aku okey apa. At least, aku tak minum, mabuk macam kau sampai tak ingat dunia. Azim tak cakap apa-apa, kau pulak yang over. Heh, cool la.” Hani membela dirinya.

“Aku sedar aku jahat. tapi kau pun kena sedar,Hani yang kau tu tak lama dah nak bertunang. Sikit hari lagi jadi isteri orang tau. Be serious la sket. Benda camni kau tak leh wat main-main.” Nasihat Rizman didengari acuh tak acuh sahaja. 

“So what? Lepas aku kahwin pun, Azim tak boleh nak paksa-paksa aku tinggalkan semua ni. I want to be free. Aku nak hidup cara aku. Dia tak ada hak nak tentukan hidup aku.” Ujar Hani bernada tidak puas hati.

“Eh Cik Hani, sejahat-jahat aku ni pun. Kalau aku nak berkahwin nanti, aku mesti cari yang baik tau. yang bertudung paling kurang, sedap mata memandang. Aku akan pilih yang bersopan, baik, lemah lembut ala-ala perempuan melayu terakhir tu.” Rizman melontarkan pendapat peribadinya sambil tersenyum macam kerang busuk.

“Orang lelaki ni semua sama ja. Nak perempuan yang baik-baik tapi diri tu? Sedarlah diri tu. Eh Encik Rizman anak Dato’ Malik, perempuan baik idaman kau tu pandang ka lelaki yang keluar masuk kelab malam macam kau ni? Lelaki jahat macam kau sesuai dengan perempuan yang macam kau jugak la. Cermin diri tu dulu. Cakap tu biar ada logik siket, bro.” Hani memulangkan paku buah kerasnya.

“Setidak-tidaknya bila dah kahwin nanti perempuan tu boleh la bimbing aku ke apa ka. Lagipun takkan selamanya nak hidup macam ni? Aku pun sebenarnya rimas dengan dunia macam ni tapi tulah susah jugak nak tinggal benda-benda macam ni sekali dah masuk. Tapi memandangkan korang berdua dah nak berkahwin, sepatutnya salah seorang tu mesti dah bersedia untuk pikul tanggungjawab ni. Ish, besar tanggungjawab tu. Ni yang aku membujang sampai sekarang ni.Tak sangguuup gua.” Rizman sengaja menekan suara di hujung percakapannya. Dia masih berlagak tenang walaupun Hani kelihatannya seperti akan meletus bila-bila masa dengan statements panas yang dikeluarkan Rizman.

“Dah la, aku nak balik nih.” hani memutuskan perbualan mereka di situ. Dia malas lagi memikirkan perkara itu. Sudahlah sekarang jarang sekali dia berjumpa dengan bakal tunangnya itu, Rizman pulak tak habis-habis nak menyakitkan hatinya.

“Suka hati kau la Hani.Aku ni sebagai kawan cuma nasihat ja. Jangan nanti si Azim tu merana disebabkan kau sudah. aku ni tak suka tengok kawan baik aku tu susah. Lagi satu, hati ni bila-bila ja boleh berubah tau. Hati-hati, Hani. Jangan nanti nasi dah jadi bubur, masa tu….abeh.” ujar Rizman sambil menggeleng-geleng tangannya.

“Dah lah, jom aku hantar kau balik. Teksi pon tak banyak area ni. ” Hani hanya mengangguk tanpa bersuara lagi. Malas dia melayan leteran Rizman.

Azim hanya memandang gelagat mereka berdua. Bermula dengan berpelukan, lepas itu ketawa manja. Nampak benar seperti pasangan yang melepaskan rindu selepas berabad lamanya tidak bersua. Hati Azim mula panas hinggakan penghawa dingin keretanya yang dipasang maksima itu pun tidak mampu menyejukkannya tika itu. Setelah puas bermadu asmara, siap tumpangkan kereta lagi. Pelbagai andaian buruk bermain di kepala Azim, ditambah syaitan yang sentiasa membisikkan kejahatan menyesatkan anak cucu adam.

Azim menghentakkan stereng dihadapannya. Mereka berdua seolah-olah telah lama membuat onar di belakang Azim. Cuma dia yang tertipu dengan muslihat mereka yang kononnya cuma bersahabat baik. Benarlah telahannya selama ini. Mereka memang ada skandal. Patutlah selama ini Hani tidak pernah kisah walaupun dia kerap menolak ajakannya untuk keluar bersama. Rupa-rupanya dah ada yang lain. Ini belum berkahwin, kalau dah kahwin esok entah macam mana jadinya nanti.

Harapkan pagar, pagar makan padi. Harapkan kawan, kawan makan kawan. Sampai hati kau Rizman. Selama ini, dia percaya pada Rizman sepenuhnya. Tanpa curiga dia membenarkan mereka berdua menghabiskan masa bersama kerana dia terlalu sibuk dengan rutin kerjanya yang baru dinaikkan pangkat sebagai Assistant Manager untuk menemani Hani. Hampir saban minggu dia melihat sahaja kelakuan jijik mereka berdua. Kadang-kadang memang sengaja dia memberi alasan untuk tidak turut serta dalam ‘dating’ mereka. Hendak dilihat dan dipastikan kelakuan sebenar mereka dengan mata kepalanya sendiri.

Apakah yang bakal dilakukan Azim Selepas melihat kejadian di Kafe Setabak itu?


Related Posts with Thumbnails